'Ini hanya permulaan' - Messi
LIONEL Messi menyasarkan untuk meraih kejuaraan treble bersama Inter Miami selepas memenangi trofi pertama mereka iaitu Piala Liga menewaskan Nashville pada Ahad.
Messi menjaringkan gol untuk meletakkan Miami 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Liga di Nashville tetapi pasukan Tennessee itu bangkit untuk seri 1-1.
Ia sekali gus memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti dan Miami muncul sebagai pemenang untuk gelaran pertama mereka dalam kejohanan tersebut.
“Sangat gembira mendapat gelaran pertama dalam sejarah kelab ini. Kerja keras dan komitmen semua orang membuahkan hasil dan ini hanya permulaan, " tulis Messi di laman Instagramnya.
Bintang Argentina itu telah menjaringkan 10 gol dalam tujuh perlawanannya setakat ini dan membuktikan langkah berani Miami membawa masuk Messi adalah berbaloi.
"Ini akan menjadi yang pertama daripada banyak trofi untuk pasukan ini,” kata pemilik kelab, Jorge Mas.
David Beckham, yang mencipta kelab itu sebelum membawa masuk Mas sebagai pelabur utama, kelihatan terkejut dengan betapa cepatnya pasukan itu berubah daripada bergelut dalam MLS kepada sebuah pasukan yang hebat dan ditonton di seluruh dunia.
"Banyak yang boleh berlaku dalam tempoh lima minggu, banyak yang berubah untuk kami.
"Kami akan menikmati ini tetapi sekarang kami perlu melihat ke masa depan dan terus membina kerana kami mempunyai beberapa pemain terbaik di dunia.
"Lebih utama kami mempunyai sekumpulan pemain akademi di luar sana dengan mereka itu penting bagi kami sebagai sebuah kelab dan sememangnya untuk negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!