Hairul Azreen umum bersara jadi pelakon
[DIKEMAS KINI] Pelakon dan pengarah, Hairul Azreen mengejutkan peminat dunia seni apabila membuat keputusan untuk bersara sebagai pelakon.
Ujar Hairul atau nama penuhnya Hairul Azreen Idris, filem Malbatt: Misi Bakara akan menjadi buah tangan terakhirnya sebelum mengundurkan diri.
“Saya Hairul Azreen, saya nak mengumumkan yang saya behenti berlakon... ‘for good’,” ujar pelakon berusia 35 tahun itu ketika menjadi artis jemputan dalam segmen 3 Pagi Era, pagi tadi.
Penyampai 3 Pagi Era iaitu Radin dan Azad Jasmin bersama penyampai jemputan Halim Othman dan Linda Onn turut terkejut dengan pengumuman itu.
Jelas Hairul, sebagai anak seni, dia sudah melakukan pelbagai kerja, dari belakang tabir sehinggalah sebagai bintang utama filem - seperti yang diimpikan sejak dahulu.
"Saya dah buat semua benda, saya dah jadi seorang pelakon daripada stunt, jadi pelakon filem. Saya doa nak jadi hero filem dan ALLAH makbulkan doa saya, sekarang saya jadi hero filem aksi dalam Malbatt. Malah filem-filem saya seperti Paskal membuatkan orang mahu jadi tentera.
“Insya-ALLAH, Malbatt akan menjadi filem yang terakhir saya sebagai anggota tentera dan pelakon,” jelasnya.
Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira segala nikmat ALLAH yang diterima selama ini.
“ALLAH dah bagi saya macam-macam melainkan saya menjadi manusia yang tak reti bersyukur.
“Saya dah buat belakang tabir sebagai stuntman (pelakon aksi lagak ngeri), pelakon tambahan, pelabur untuk filem-filem, pengarah, produser, semua benda saya dah lalui.
“Perjuangan saya biarlah saya akhiri dengan filem yang membanggakan saya iaitu Malbatt: Misi Bakara,” ujarnya yang pernah juga bergelar penyanyi.
Suami kepada Hanis Zalikha itu akan tetapi aktif di media sosial dan mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan selepas ini.
“Saya masih lagi aktif di media sosial, cuma saya dah tak berlakon.
"Ada orang yang tak sempat tengok mak ayah sebab sibuk dengan kerja, ada orang tak sempat lihat anak-anak membesar. Alhamdulillah mak saya masih ada.
"Saya buat kajian untuk diri saya, keluarga saya. Macam saya tak dapat tengok sebab bila saya buat (berlakon) filem, saya buat badan selama enam bulan, seminggu enam kali, pagi, petang malam, tahu-tahu anak dah besar, dah pergi sekolah dan tak sempat nak buat itu semua (lihat anak membesar).
"Saya dah dapat dan dah puas dengan apa yang saya dapat," jelasnya yang sentiasa buat terbaik dalam apa jua filem yang dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!