Tiga pemandu mabuk termasuk warga emas ditahan
AMPANG - Seramai tiga individu termasuk seorang lelaki warga emas memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Operasi Mabuk secara sekatan jalan raya di Jalan Pandan Utama, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua individu berusia 41 tahun hingga 69 tahun itu ditahan kerana memandu dengan tahap alkohol melebihi paras yang dibenarkan.
"Tangkapan bersama kenderaan yang terlibat telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.
"Ujian nafas dengan menggunakan alat 'evidential breath analyzer II' (EBA II) terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dan mendapati tahap kandungan alkohol dalam darah mereka melebihi had yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Azam berkata, sebanyak 55 buah kenderaan dan 70 individu telah diperiksa dalam operasi yang dijalankan bermula jam 10 malam sehingga 12 tengah malam.
"Sebanyak 32 saman telah dikeluarkan atas kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan kesalahan lain.
"Orang awam diingatkan supaya tidak memandu semasa berada di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!