Bot 'pulang' tanpa penumpang, dua pemancing dikhuatiri hilang

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan bagi mencari mangsa dikenali sebagai Yasin Omar, 20, dan Mohd Shah Nazmin, 19. - Foto Bernama (Kredit: JBPM Labuan)
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan bagi mencari mangsa dikenali sebagai Yasin Omar, 20, dan Mohd Shah Nazmin, 19. - Foto Bernama (Kredit: JBPM Labuan)
A
A
A

LABUAN - Dua pemuda dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka untuk keluar memancing ditemukan terapung tanpa anak kapal berdekatan jeti Kiamsam awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan memberitahu Bernama, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan bagi mencari mangsa dikenali sebagai Yasin Omar, 20, dan Mohd Shah Nazmin, 19.

Katanya, dua pemuda itu berlepas dari jeti tersebut 6 petang semalam dan setakat berita ini ditulis tiada maklumat berhubung keberadaan mereka.

Menurut jurucakap itu, anggota keluarga dan rakan mangsa yang sedang menunggu khabar daripada mereka telah membuat laporan polis 10.18 pagi ini.

"Petugas kami dengan segera melancarkan operasi SAR secara komprehensif, menggunakan kombinasi aset dan sumber daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan unit Polis Marin untuk memastikan pencarian meliputi kawasan yang luas di mana dua pemancing itu kali terakhir dilihat,” katanya.

Ketika ini, tinjauan Bernama mendapati anggota keluarga, rakan dan komuniti setempat turut bersama-sama memberi sokongan dan bantuan kepada pasukan SAR.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan dua lelaki itu digesa supaya tampil membantu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!