Dituduh berpolitik, bilal masjid dipecat 24 jam
MELAKA TENGAH - Seorang bilal sebuah masjid yang sudah berkhidmat selama 15 tahun kecewa apabila dipecat dalam tempoh 24 jam tanpa alasan kukuh selepas menerima surat pada 1 Ramadan lalu.
Mohd Ali Ismail, 47, yang berkhidmat di Masjid Saad Ibni Abi Waqqas, Klebang Besar itu menerima surat bertarikh 6 Mei ditandatangani setiausaha dan disahkan pengerusi masjid kerana didakwa melanggar etika pegawai syarak.
Beberapa alasan dinyatakan dalam surat itu termasuk menuduhnya berpolitik ketika bertugas serta menghasut anak kariah dan guru takmir supaya tidak memberi kerjasama kepada pengurusan masjid.
"Saya terkejut, sedangkan selama ini saya tidak pernah dipanggil pengurusan masjid atau diberi amaran, berbincang atau membela diri terhadap segala tuduhan. Saya kesal kerana bagi saya pemecatan ini tidak adil.
"Mungkin pengurusan masjid hanya mendengar pandangan sebelah pihak tanpa mendapatkan penjelasan daripada saya. Selama 15 tahun saya berkhidmat di masjid itu, tetapi pemecatan saya dilakukan tidak sampai 24 jam, saya sangat kecewa," katanya.
Dia berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pembela Perpaduan Ummah (Pembela) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan di Pulau Gadong di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, pihaknya yakin pemecatan berkenaan tidak sah kerana hanya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) atau Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhak bertindak demikian.
"Saya mewakili masyarakat Islam di Klebang Besar kecewa dengan langkah pihak pengurusan masjid memecat bilal Mohd Ali yang sudah berkhidmat selama 15 tahun di kampung ini. Kami lebih kenal dia, orangnya baik dan disenangi penduduk.
"Bagi saya, pemecatan ini menunjukkan pengurusan baru masjid berkenaan tidak tahu mengenang jasa dan ia sekali gus membuktikan mereka suka bermain politik walaupun sudah diberi tanggungjawab untuk mentadbir rumah Allah ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta MAIM dan JAIM untuk menentukan kedudukan Mohd Ali sebagai bilal selain membuat pengesahan mengenai surat pemecatan yang dikeluarkan jawatankuasa masjid terbabit.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut menyatakan pihaknya menerusi JAIM akan meneliti isu berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan pemecatan Mohd Ali
"Saya akan semak dengan JAIM menerusi MAIM terhadap peraturan yang diguna pakai tentang pelantikan dan pemecatan pegawai syarak.
"Perkara ini kita harus melihat semula secara jelas tentang apa sebenar yang berlaku barulah kita akan mengambil sebarang tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!