Wanita ugut mahu tikam ahli keluarga ditahan
BESUT - Seorang wanita yang dikatakan mengugut mahu menikam dan menyembelih ahli keluarganya akhirnya berjaya diberkas polis di sebuah rumah dekat Kuala Besut, dekat sini, kelmarin.
Janda berusia 35 tahun yang juga penagih itu ditahan di rumah keluarganya kira-kira jam 2 pagi dalam satu serbuan oleh sepasukan polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek diburu polis selepas melakukan ugutan jenayah terhadap adik lelaki yang berusia 33 tahun dan bapanya pada 30 April lalu.
Menurutnya, suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan mengugut akan menikam adik dan menyembelih bapanya itu.
“Adik lelaki suspek kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut kerana bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga,
“Sementara itu suspek yang pernah menjalani rawatan pemulihan dadah melarikan diri daripada rumahnya sebelum berjaya diberkas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!