'Dulu kita tersepit antara Selangor, Pulau Pinang' - Saarani
MANJUNG - Perak dalam fasa meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor industri yang mampu memberi pendapatan lumayan bagi memastikan jurang dengan negeri terkaya dapat dikurangkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu dilakukan menerusi pelaksanaan beberapa projek besar di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 termasuklah pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, pembinaan kilang baharu Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
Menurutnya, hasil kajian dilakukan sebelum ini mendapati, ramai bakat muda telah mencari rezeki di luar negeri Perak yang mempunyai tawaran pekerjaan sektor industri lebih tinggi.
"Dulu kita ada tanah-tanah industri, cuma pelabur lebih berminat untuk ke Pulau Pinang dan Selangor, jadi kita tersepit kerana negeri-negeri itu sudah dikenali dan mempunyai kemudahan pelabuhan.
"Tetapi sekarang pembangunan di negeri itu sudah semakin sesak menyebabkan pelabur mula mengintai peluang di Perak bagi pelaburan industri baharu," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional.
Perak bersama Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Kedah dan Kelantan direkodkan mempunyai peningkatan pendapatan perlahan dan kekal rendah.
Data pendapatan mengikut tahun juga menunjukkan jurang semakin melebar dengan jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022.
Saarani berkata, kerajaan negeri sedar akan kedudukan itu dan memaklumkan ini masa yang tepat untuk menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan lumayan yang mencukupi kepada rakyat.
"Kita akan perkasakan kemudahan terutama pelabuhan di Lumut dan kita yakin dapat bersaing dengan negeri-negeri lain," katanya.
Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis pecah tanah projek Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) yang pertama di negeri ini.
Pembangunan startegik di kawasan berkeluasan 43 hektar dalam jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Lekir itu dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat penyelidikan dan pembangunan daging halal, pusat pemprosesan ayam dan kilang pemprosesan makanan haiwan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!