Nazri tekad bawa suara 40,379 pengundi di Simpang Jeram

Nazri
Nazri
A
A
A

MUAR - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman, 56 tekad mahu berkhidmat dan membawa suara 40,379 pengundi di kawasan itu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Bakri berkata, sebagai anak jati Simpang Jeram, isu penduduk cukup dekat di hatinya dan mahu suara mereka dapat didengar.

Jelasnya, fokus akan diberikan bagi mengatasi kejadian banjir kilat dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Saya mahu meneruskan legasi kepimpinan penyandang kerusi DUN Simpang Jeram, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sentiasa ‘turun padang’ bertujuan mendekati rakyat.

"Pengalaman sebagai seorang jurutera (Majlis Perbandaran Muar) akan digunakan untuk mengatasi masalah berkenaan terutamanya di sekitar kawasan pekan Bakri.

"Antara perkara yang akan diberi tumpuan ialah memperbaiki sistem saliran perparitan agar kejadian banjir kilat tidak lagi berulang," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Menurut bapa kepada enam cahaya itu lagi, pengalaman terbabit dalam kerja sukarelawan bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sejak berusia belasan tahun, membolehkan dirinya bergaul mesra dengan penduduk setempat.

"Dalam bidang politik pula, pada usia 20-an saya bermula sebagai ahli biasa sahaja dan diterima baik oleh Amanah Bakri.

Artikel Berkaitan:

"Says mahu membantu mereka yang berada di peringkat akar umbi, pada saya kesusahan yang dihadapi oleh mereka adalah kesusahan bersama dan ia perlu dibantu," katanya.

Ditanya tentang calon lawan, Nazri akan menanggap siapa pun calon pada PRK DUN Bakri kelak, adalah sahabat.

"Siapa juga yang akan bertanding dengan istilah ‘berlawan’ hanya di atas kertas tetapi realitinya adalah rakan.

"Apa pun suara pengundi di Simpang Jeram yang mahukan perubahan perlu diperjuangkan dan usaha membantu mereka perlu dilakukan," katanya.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 40,379 orang di DUN Simpang Jeram layak mengundi pada PRK berkenaan.

Kumpulan pengundi terbesar di DUN Simpang Jeram meliputi lingkungan umur 30 hingga 39 tahun iaitu 23.10 peratus daripada jumlah pengundi atau 9,326 orang, diikuti 9,160 pengundi daripada umur 21 hingga 29 tahun manakala kategori 40 hingga 49 tahun mencatatkan 7,113 orang.

Sebelum itu pada Sabtu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Nazri sebagai calon PH untuk kerusi DUN Simpang Jeram manakala Suhaizan Kaiat, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor sebagai calon PH untuk Parlimen Pulai.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam akibat pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!