ADUN pembangkang Selangor tekad bawa suara rakyat, tuntut peruntukan
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) di Selangor akan memainkan peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berwibawa mewakili suara rakyat, selain memikul tugas semak dan imbang terhadap kerajaan di negeri ini.
ADUN Sungai Panjang, Mohd Razali Saari berkata, peranan dimainkan PN bersifat menyeluruh dan berharap kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik.
Menurut beliau, pimpinan kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi penggal kedua ini juga diharap memberi peruntukan adil kepada ADUN pembangkang.
"Kita berharap pemerintahan PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional) berlaku adil dalam pemerintahan di negeri ini dari segi peruntukan kepada ADUN.
"Kita tidak mahu, ia menjadi penggal sebelum ini apabila ADUN pembangkang diketepikan daripada menerima sebarang peruntukan bagi membantu rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kerajaan negeri diminta memberi tumpuan dalam melunaskan janji dan manifesto semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos lalu.
Beliau memberitahu, Tawaran Kita Selangor: 'Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor' perlu dilaksanakan secara menyeluruh kepada penduduk di negeri ini.
"Saya berharap kerajaan Selangor bertindak adil kepada semua ADUN sama ada kerajaan dan pembangkang terutama dalam memberikan peruntukan bagi membolehkan kami bersama-sama membantu rakyat lebih-lebih lagi kita baharu pulih daripada pandamik Covid-19 selain keadaan ekonomi dan kos sara hidup semakin meningkat masa kini," ujar beliau.
Tegas Nurul Syazwani, kerajaan negeri sebelum ini hanya menyalurkan peruntukan kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) semata-mata.
ADUN Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, Kerajaan Perpaduan Selangor diingatkan tidak mengamalkan politik lama yang mendiskriminasi pembangkang.
Jelas beliau, pembangunan di Selangor seharusnya bersifat menyeluruh tanpa mengira DUN kerajaan mahu pun pembangkang.
"Kita mahu diskriminasi ini diketepikan dan Kerajaan Perpaduan yang ada ini mestilah mengamalkan politik baharu, matang dan sejahtera," ujar beliau.
Ditanya tentang pelantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Mohd Zamri berkata, perkara itu akan diputuskan dalam waktu terdekat.
"Kami akan duduk dalam waktu terdekat bagi membincangkan perkara ini yang saya percaya tidak lari daripada struktur ditetapkan sebelum ini, namun ia belum dimuktamadkan," tambahnya.
ADUN Ijok, Jefri Mejan memberitahu, PN akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat dan mengetengahkan suara mereka di sidang DUN Selangor.
Katanya, pembangkang akan terus berperanan sebagai pembangkang konstruktif dengan membawa manfaat serta khidmat terbaik pada rakyat dan negeri ini.
"Harap semua pihak dapat memberi tumpuan dalam gerak kerja membela nasib dan kebajikan rakyat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!