Dua laporan polis susulan fitnah hakim, peguam syarie di YouTube

Abu Suffian (dua dari kiri) dan Moez (kiri) ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap pengendali saluran YouTube.
Abu Suffian (dua dari kiri) dan Moez (kiri) ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap pengendali saluran YouTube.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua laporan polis dibuat terhadap pengendali saluran YouTube susulan menyiarkan kandungan video tohmahan terhadap hakim dan peguam syarie.

Laporan itu dibuat oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, pada Isnin.

Presiden PPSM, Abu Suffian Abu Yaziz ketika ditemui pemberita berkata, kandungan video tersebut dibuat oleh seorang lelaki dalam satu program mengenai salah laku tidak bermoral membabitkan hakim dan peguam syarie yang didakwa bertukar-tukar pasangan selepas melakukan aktiviti motosikal berkumpulan.

"Kami tegaskan bahawa dakwaan ini bersifat menghina dan mengaibkan institusi perundangan dan kehakiman syariah negara," katanya.

Menurutnya, tohmahan tersebut tidak berasas sama sekali kerana tidak disokong oleh sebarang bukti kukuh mengikut saluran undang-undang.

"Ia juga memberi naratif yang tidak baik kepada masyarakat sivil dan seolah-olah mahu menyedapkan cerita untuk tujuan meraih publisiti murahan dan berbaur fitnah ke atas pegawai syariah termasuklah hakim syarie dan peguam syarie," ujar beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PGSM, Moez Basri menegaskan pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya salah laku yang didakwa adalah benar.

"Jika terbukti (benar) kami tidak ada masalah untuk mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Adalah tidak adil membuat tuduhan semberono," katanya.

Menurutnya, pihak mereka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara sama.

"Kami harap tindakan diambil ke atas pengendali saluran YouTube tersebut kerana ia telah mencemarkan nama institusi kehakiman dan syariah," tegas beliau.

Sementara itu, semakan Sinar Harian terhadap saluran YouTube tersebut mendapati kandungan yang dimaksudkan masih dipaparkan.

Kandungan tersebut dimuat naik pada Sabtu lalu telah memperoleh lebih 89,000 view dan 1.9 ribu tanda suka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!