'Calon PN-Pas anak jati Johor, memang dikenali' - Abdullah
JOHOR BAHRU – “Calon Perikatan dari Pas pada Pilihan Raya Kecil kali ini, memang orang kenal."
Itu respon ringkas Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin ketika memberikan bayangan mengenai calon parti berkenaan bagi PN pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bakal berlangsung serentak, 9 September ini.
Menurut Abdullah, kedua-dua calon tersebut juga bukanlah nama baharu dan sememangnya dikenali ramai serta merupakan anak jati Johor.
“Insya-ALLAH, kedua-dua calon ini kita akan umumkan Rabu malam di Simpang Jeram.
“Namun sekiranya pengisytiharan dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin (Yassin) pada sekitar jam 2 hingga 2.30 petang di bilik gerakan utama di Kempas pada Rabu, kita akan teruskan juga himpunan di Simpang Jeram malam itu untuk perkenalkan calon kita,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Untuk rekod, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya yang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.
Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai kedua-dua calon berkenaan, Abdullah berkata, biarlah perkara itu diumumkan secara rasmi kelak.
“Bagi saya, biarlah pengumuman calon-calon ini sama ada bagi peringkat Parlimen Pulai atau DUN Simpang Jeram ni, biarlah diumumkan secara rasmi.
“Tapi macam yang saya katakan tadi, tidak ada kejutan untuk calon kita kali ini kerana orang memang kenal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!