Setem kenang-kenangan sempena 100 tahun Bukit Bendera
GEORGETOWN - Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan Setem Kenang-Kenangan serta Sampul Surat Hari Pertama sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Funikular Bukit Bendera.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu dapat menyegarkan kenangan semua pihak tentang perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera, sejak generasi pertama koc dulu hingga generasi ketiga koc kini.
“Kereta api (funikular) Bukit Bendera ini adalah simbol kemajuan dan perpaduan. Ia memulakan perkhidmatan sulungnya pada 21 Oktober 1923.
“Pada hari ini, kita sama-sama bagi menyambut ambang 100 tahun ulang tahun perkhidmatannya dengan pelbagai kenangan, perubahan demi perubahan serta atas semangat perpaduan yang dibawa kepada komuniti kita,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran yang diadakan di Stesen Bawah Bukit Bendera di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao; Pengurus Besar PHC, Datuk Cheok Lay Leng dan Pengurus Pos Malaysia Pulau Pinang, Ismahari Alwi serta Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara Semenanjung Malaysia, Shahrul Aman Sabir Ahmad.
Kon Yeow berkata, setem kenang-kenangan serta sampul surat berkaitan boleh didapati secara dalam talian dan juga di pejabat-pejabat pos terpilih di seluruh negara mulai Selasa dengan kadar harga RM64.20 bagi setiap satu set lengkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!