Akta muzik diwujud dalam tempoh dua tahun - Fahmi

Fahmi ketika bertemu para pengamal media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital di Kementeriannya, pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi ketika bertemu para pengamal media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital di Kementeriannya, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, satu akta menyeluruh untuk industri muzik akan diwujudkan dalam tempoh dua tahun.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini pada Isnin, beliau berkata, memandangkan akta untuk industri muzik masih belum ada, perkara itu perlu diteliti termasuk berkaitan aspek mengawal selia industri itu serta pemasaran.

"Kita jangka proses menggubal akta mengambil masa namun ada usaha mendampingi, membantu dan menyediakan beberapa dasar yang sesuai dan manfaat serta menepati keperluan industri muzik akan diusahakan," katanya.

Fahmi berkata, KKD bersetuju mewujudkan gerak usaha menggubal akta muzik selepas mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk para penggiat industri itu.

Beliau berkata, dalam sesi dialog awam MyCreative Ventures bersama penggiat industri muzik sebelum ini antara isu yang dibangkitkan ialah usaha membawa produk kreatif tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menjawab satu soalan, Fahmi berkata, akta itu tidak melibatkan royalti penggiat muzik kerana isu tersebut diselia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.

"Kita masih di peringkat awal, jadi sukar untuk saya sebut apa bentuknya nanti tapi kita terima cadangan beberapa pihak, sebagai contoh mewujudkan satu badan yang dapat mengawal sedia industri muzik," katanya.

Beliau berkata ada yang berpandangan fokus untuk badan yang dapat mengawal selia atau membantu industri muzik adalah ke arah mengasah bakat, membantu aspek pemasaran dan memastikan pertumbuhan ekosistem yang mampan.

Artikel Berkaitan:

Fahmi juga berkata, setakat 2022, MyCreative berjaya membangunkan lebih 10,000 individu dan perniagaan kreatif serta menyokong lebih 30,000 kerja dalam industri kreatif melalui saluran dana sebanyak RM447.7 juta dan pinjaman berjumlah RM558.45 juta telah diluluskan.

Beliau berkata, sejak penubuhannya sehingga kini, MyCreative telah mengangkat pelbagai bentuk seni dan penggiat kreatif melalui pelaburan strategik dan inovatif serta penyediaan platform yang dinamik.

Pada majlis itu, Fahmi menyampaikan Dana Kandungan Digital (DKD) sehingga RM50,000 kepada 10 individu yang mencipta lagu bertemakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia atau lagu patriotik yang bertemakan kenegaraan dalam pelbagai jenis muzik serta genre.

Mereka disenarai pendek daripada sejumlah 53 permohonan yang diterima selepas melalui proses saringan ketat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!