Kupas mukadimah Rukun Negara beri penerangan kepada masyarakat

Fahmi ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KKD di Kementeriannya, pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan KKD di Kementeriannya, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaksanakan usaha kupasan mukadimah Rukun Negara supaya dapat memberi penerangan kepada masyarakat tentang matlamat utama rukun berkenaan.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini pada Isnin, Fahmi berkata, beliau melihat terdapat keperluan untuk rakyat Malaysia mendalami mukadimah Rukun Negara.

"Mukadimah ini bukan baharu tetapi sejak Rukun Negara diperkenal tetapi jarang sekali kita dalami,” katanya yang turut berkongsi kebiasaan dari kecil untuk mengikrarkan lima prinsip Rukun Negara sahaja.

Lima cita-cita Rukun Negara ialah mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta sebuah masyarakat adil agar kemakmuran negara dinikmati bersama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak dan membina satu masyarakat progresif yang mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Pada 13 Ogos lepas, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata lafaz ikrar Rukun Negara kini akan diselaras bermula dengan bacaan penuh mukadimah diikuti lima prinsip berkenaan di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan sebagai usaha menyemai taat setia serta rasa cintakan negara.

Fahmi juga berkata, beliau bersama-sama Aaron dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan meneliti supaya ‘Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ seperti yang diadakan di Perak baru-baru ini dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, program yang melibatkan pertandingan pidato dan sebutan korus pelajar sekolah menengah serta rendah tentang institusi diraja itu amat baik untuk masyarakat fahami, sayangi dan sanjungi institusi yang menjadi payung pentadbiran negara.

"Saya lihat usaha di peringkat negeri (Perak) sangat baik untuk wujudkan suasana, tanam rasa cinta terhadap institusi diraja dalam kalangan anak muda dan para pelajar yang seharusnya kita contohi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Fahmi meminta Ketua Setiasusaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berbincang dengan kementerian berkaitan dan penyelarasan dengan negeri bagi mengadakan program seperti mengumpul johan pidato dan sebutan korus peringkat negeri untuk acara peringkat kebangsaan.

Semalam, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Perak.

Program di bawah kelolaan bersama Dewan Negara Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan pembiayaan serta sokongan kerajaan negeri itu turut diisi dengan Pertandingan Akhir Pidato Diraja melibatkan dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selain Persembahan Johan Bicara Berirama dan Sebutan Korus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!