Juara dunia barakan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2022
PEMENANG pingat emas acara badminton beregu lelaki Kejuaraan Dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara calon berstatus juara dunia dalam senarai lima terbaik bagi merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2022.
Kejayaan Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking keempat dunia dalam senarai Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menundukkan gandingan Indonesia, Mohamad Ahsan – Hendra Setiawan dalam saingan edisi ke-27 di Tokyo, Jepun meletakkan nama mereka sebagai satu daripada calon untuk merebut Anugerah Atlet Terbaik.
Kejayaan Aaron-Wooi Yik itu telah menamatkan penantian Malaysia untuk melihat wakil negara menaiki podium selaku juara dunia.
Bagaimanapun kedudukan mereka masih belum selesa kerana beberapa individu yang memegang status ‘jaguh dunia’ turut disenarai untuk merebut anugerah ini.
Rekod sama turut dilakar Lim Kok Leong dari sukan snuker dan billiard apabila mengesahkan status sebagai juara dunia di Kejohanan Snuker Amatur Dunia 2022 di Antalya, Turkiye.
Atlet berusia 27 tahun itu menundukkan Juara Asia, Amir Sarkosh dari Iran dengan kemenangan 5-0 selepas pertarungan 16 minit.
Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau dikenali Mike Mahen antara yang disenarai untuk merebut gelaran Atlet Terbaik 2022.
Disember 2022 merupakan detik terindah buat atlet bina badan negara berusia 49 tahun ini apabila menaiki podium selaku juara dunia Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia buat kali kelima dalam kariernya selepas memenanginya pada 2016, 2017, 2018 dan 2019.
Sementara itu, sukan angkat berat turut menarik perhatian untuk dilihat layak berada dalam lima senarai pendek Anugerah Atlet Terbaik 2022.
Muhammad Aniq Kasdan mencipta sensasi apabila memecahkan rekod Remaja Asia bagi kategori 61kg di Kejohanan Angkat Berat Asia 2022 yang berlangsung di Manama, Bahrain.
Atlet berusia 21 tahun itu melakukan Angkatan seberat 160kg (clean and jerk) sekali gus memperbaharui rekod yang dipegang Kim Chung-Guk dari Korea Utara ketika beraksi di Kejohanan Belia dan Remaja Asia pada 2019.
Meskipun berusia 17 tahun, Ng Joe Ee menjadi satu-satunya atlet wanita yang berjaya menempatkan diri dalam lima atlet terbaik bagi tahun 2022.
Gimnas muda dalam pembikinan ini turut meraih dua pingat emas di temasya Sukan Komanwel di Birmingham dalam aparatus bola dan riben.
Sementara itu, lima calon bagi kategori Anugerah Atlet Para Terbaik 2022 dikenal pasti bagi Anugerah SAM – 100PLUS 2022.
Pemenang Anugerah Atlet Para Terbaik 2019 Bonnie Bunyau Anak Gustin antara atlet para negara disenarai bagi 2022 untuk persaingan merebut anugerah kali ini.
Bonnie mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 72 kg di Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania di Pyeongtek, Korea Selatan.
Beliau yang juga juara Paralimpik Tokyo 2020 melakukan angkatan seberat 213 kg untuk memastikan podium menjadi miliknya.
Turut disenarai jaguh badminton Cheah Liek Hou yang berjaya merangkul gelaran juara kali ketujuh di Kejohanan Badminton Para Dunia di Jepun selepas menundukkan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia di pentas final.
Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah RM10,000 dan trofi dalam majlis dijangka dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh di Petaling Jaya pada 29 Ogos ini.
Pengeluar minuman isotonik terkemuka di Malaysia, 100PUS memainkan peranan yang penting dan menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah ini.
Turut hadir pada majlis sidang media Anugerah SAM-100PLUS 2022, Pengarah Penglibatan Kerajaan dan Industri, Fraser & Neave Holding Berhad Datuk Raffiq Md Ariff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!