Jururawat Britain dihukum penjara seumur hidup bunuh 7 bayi
MOSCOW - Seorang bekas jururawat di Britain, Lucy Letby telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh tujuh bayi dan cuba membunuh enam yang lain di hospital Chester antara Jun 2015 dan Jun 2016, Sputnik memetik laporan penyiar negara itu, Sky News pada Isnin.
Wanita berusia 33 tahun itu telah disabitkan kesalahan pada Jumaat lepas.
Polis bimbang Letby juga mugkin telah ‘mencederakan’ puluhan bayi lain, lapor The Guardian, memetik sumber yang mengetahui siasatan polis. Penyiasat mengenal pasti 30 bayi yang mengalami insiden "mencurigakan" yang berlaku semasa Letby bertugas, kata sumber tersebut.
Polis juga sedang menganalisis rekod perubatan lebih daripada 4,000 bayi yang dilahirkan antara 2012 dan 2015 di Hospital Countess of Chester, serta di Hospital Wanita Liverpool, di mana bekas jururawat tersebut juga bekerja.
The Telegraph melaporkan, memetik seorang sumber kerajaan, bahawa pihak berkuasa bertekad untuk memastikan Letby hadir di mahkamah untuk mendengar hukumannya dan berhadapan dengan mangsa-mangsa jenayahnya, walaupun beliau menolak untuk berbuat demikian sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!