Setelah 54 tahun, OIC gagal lindungi Masjid Al-Aqsa - NGO Islam
SHAH ALAM - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) didakwa gagal melindungi Masjid Al-Aqsa daripada tentera rejim Israel yang melakukan serangan dan pencerobohan secara berterusan sejak 54 tahun lalu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan empat badan bukan kerajaan (NGO) Islam, sejak peristiwa hitam 21 Ogos 1969, yang menyaksikan seorang pelampau Kristian Australia, Dennis Michael Rohan cuba membakar Masjid Al-Aqsa, tempat suci itu kekal terancam sehingga hari ini.
Justeru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dituntut agar menguatkuasakan resolusi yang diluluskan dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan berterusan ke atas masjid itu.
"Kami kesal kerana OIC gagal melindungi masjid itu walhal insiden pembakaran masjid itulah yang telah mencetuskan penubuhan OIC.
"Kami kesal walaupun ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan dan menekankan keperluan untuk mengekalkan status quo di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan," menurut kenyataan tersebut pada Isnin.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa, Datuk Seri Syekh Ahmad Awang; Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Datuk Syekh Abdul Ghani Samsudin dan Setiausha Agung Sekretariat Palestin Malaysia, Syed Syekh Al Attas.
Pada masa sama, mereka menegaskan, rasa cinta terhadap Al-Aqsa seharusnya menyatukan umat Islam untuk meneruskan perjuangan membebaskannya daripada rejim Israel.
"Kami menyatakan kecaman terhadap tentera pendudukan Israel yang sewenang-wenangnya menyerang pengunjung Islam Palestin di dalam Masjid Al-Aqsa.
"Masjid itu telah menjadi pusat untuk perjuangan penentangan oleh rakyat Palestin untuk membebaskan Al Quds," menurut kenyataan itu.
Justeru mereka berkata, setelah 54 tahun, umat Islam perlu bersolidariti dengan pejuang Palestin untuk membebaskan Al-Aqsa dan harus sentiasa menghidupkan ingatan mengenai bagaimana Yahudi Zionis telah menaruh perasaan permusuhan yang mendalam terhadap umat Islam dan Masjid Al-Aqsa.
"Sejak tahun 1967 masjid Al-Aqsa menjadi sasaran Yahudi Zionis yang mahu merobohkannya untuk wujudkan semula Gunung Yahudi (Kuil Sulaiman) yang ketiga.
"Pencerobohan ganas berterusan oleh tentera Israel dan peneroka haram Yahudi telah mengakibatkan rakyat Palestin ditangkap, diculik, dibunuh, dicederakan, dipenjarakan dan diseksa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!