Pemandu teksi 'jahat' pulang wang tunai lebih RM50,000
BANGKOK - Seorang pemandu teksi Bangkok berjaya menepis tanggapan masyarakat bahawa semua pemandu teksi di ibu negara Thailand adalah 'jahat' apabila memulangkan wang tunai bernilai hampir 400,000 baht (RM52,883) kepada pelanggannya, lapor Thaiger.
Di Bangkok, kisah pemandu teksi merampas pelanggan, enggan menggunakan meter dan bergaduh dengan penumpang adalah perkara biasa berlaku di sana.
Namun, kali ini seorang pemandu teksi jujur menemui sejumlah wang tunai ditempat duduk belakang dipercayai milik tiga warga Bangladesh yang meninggalkannya secara tidak sengaja selepas turun dari pengangkutan awam tersebut.
Pemandu teksi yang dikenali Phonsak Phunni telah segera melaporkan penumpangnya tercicir barangan peribadi serta wang tunai kepada stesen radio teksi SWP.FM91 dengan harapan dapat membantu mencari pemiliknya semula.
"Saya terkejut dan menggeletar. Saya tidak berani lihat apa isi di dalamnya," katanya.
Kemudian, Phonsak yang pulang ke stesen teksinya dan membuka dompet tersebut mendapati terdapat kad pengenalan, kad kredit dan 105 keping mata wang AS$100 berjumlah 373,490 baht (RM48,809).
Selain itu, dompet sama turut mengandungi 7,050 rupee (RM396) dan ia dipercayai ditinggalkan tiga lelaki warga Bangladesh yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi ke Emporium Indra di Pratunam, Bangkok.
"Selama menjadi pemandu teksi lebih 10 tahun, saya akan memulangkan semua barang yang ditemui dalam kenderaan ini, walaupun barangan kecil,"katanya.
Akhirnya dompet itu berjaya dipulangkan kepada pemiliknya, Jahirul Islam dan dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Phonsak dan stesen radio itu kerana menghubunginya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Vilai Center and Sons Co., Ltd., bersama Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Komunikasi Organisasi stesen radio SWP.FM91, Sakon Thawornkanchana telah menjadi saksi semasa penyerahan wang tunai dan barangan lain yang berjumlah hampir 400,000 baht. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!