Azeem tekan kasi habis kelajuan, nasihat otai
PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dinasihati untuk membuang jauh-jauh kebiasaan memperlahankan larian apabila menghampiri garisan penamat dalam sesuatu kejuaraan.
Malah, bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menyifatkan pendekatan penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) juga pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) sesuatu yang kurang baik.
“Azeem ada momentum larian sebenarnya, cuma saya perhatikan banyak kali sudah dia suka slow down semasa 10 meter terakhir sebelum ini.
“Contoh semasa sesi kelayakan tempoh hari Azeem buat 10.24s, namun saya perhatikan Azeem memperlahankan larian sebelum melepasi garisan penamat yang mungkin dia boleh buat 10.19s contohnya.
“Sebagai bekas atlet, saya berpandangan ini bukan satu kebiasaan yang baik sekiranya masih diteruskan sebaliknya harus dibuang jauh-jauh sekiranya mahu lebih berjaya di lapangan ini.
“Ya, dia akan layak ke pusingan seterusnya secara automatik apabila berada dalam kelompok terbaik, mungkin juga untuk simpan tenaga.
“Tapi harus diingat Azeem bukan jenis pelari regular yang berlari bawah 10 saat, jadi seharusnya Azeem menghabiskan larian dengan kelajuan terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, Azeem yang beraksi atas tiket wild card gagal melangkah ke separuh akhir pada penampilan sulung di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary pada Ahad.
Pelari berusia 19 tahun itu berjaya mengesahkan tempat ke pusingan pertama selepas mengungguli saringan kedua pusingan kelayakan dengan catatan 10.24saat (s) - catatan terpantas dalam kalangan 29 atlet yang beraksi di pusingan kelayakan.
Namun, Azeem mengakhiri cabaran di tempat ketujuh dengan catatan 10.26s pada pusingan pertama di Stadium Olahraga Nasional, tersebut.
Jelas Nazmizan lagi, situasi itu tidak menjadi masalah sekira atlet berusia 19 tahun kelahiran Teluk Intan, Perak merupakan pelari regular dengan catatan bawah 10 saat.
“Kita sebenarnya bukan dalam senarai pilihan untuk menang, jadi setiap larian baik sesi kelayakan, saringan tambah lagi final perlu diterjemahkan dalam bentuk catatan larian sehabis baik
“Satu lagi catatan masa ini sebenarnya dari sudut psikologi memberikan motivasi kepada para atlet apabila bersaing di fasa seterusnya yang lebih kompetitif.
“Seharusnya Azeem perlu mengambil contoh dalam kalangan pelari pecut dunia yang menjadikan satu kebiasaan meningkatkan catatan bermula dari peringkat saringan hingga ke final,” katanya.
Sebagai rekod, Azeem antara taruhan negara dalam acara 100m dan 4x100m di Sukan Asia Hangzhou, China yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!