JDT belasah TRW 10-0, nak seronok pun rasa tak seronok
“(YOU ask for it).....itu pandangan saya terhadap kekalahan besar pasukan Kelantan dimamah 10-0 oleh JDT pada Ahad.”
Itu reaksi penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli susulan kekalahan terburuk sepanjang karier kejurulatihan pengendali The Red Warriors (TRW), Alfredo Vera ketika berdepan penyandang juara Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Bukan salah JDT, mereka pasukan profesional yang memang tiada amalan belas ihsan. Ini juga antara falsafah utama amalan pelbagai kelab bola sepak di dunia jika ingin maju jauh ke hadapan, soal simpati atau empati tidak ujud kecualilah kalau dalam latihan atau persiapan luar musim.
“Memang kasihan apabila lihat Kelantan dibelasah, dimamah, diperkotak-katikkan, sejujurnya saya lihat seolah-olah mereka sendiri yang minta. Musim yang malang untuk pasukan ini.
“Memang mereka sudah tahu akan kalah besar, jadi mereka cuma harap pada keajaiban yang memang tak mungkin akan berlaku dengan line up mereka, tambahan ini sajalah pemain yang mereka ada, ibarat kail panjang sejengkal, lautan dalam hendak diduga,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Vera kelahiran Argentina yang berpengalaman melatih beberapa kelab divisyen utama dan kedua Liga Indonesia seperti Persipura Jayapura, Persebaya Surabaya sebelum ini menegaskan situasi itu juga belum pernah berlaku sepanjang melibatkan diri dalam arena kejurulatihan.
Biarpun menjangkakan kekalahan TRW berdepan anak buah Esteban Solari, namun Vera mengakui terkejut dengan jumlah jaringan ketika kelab pantai timur itu berusaha mengurangkan defisit berikutan kekalahan 1-5 semasa aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim pada 4 Ogos lalu.
Dalam perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu, Solari menurunkan barisan terbaik Harimau Selatan memulakan pesta gol dengan menerusi Bergson da Silva (m-21, m-43, m-72), Takahiro Kunimoto (m-24, m-37) dan Juan Muniz (m-54).
Angkatan Harimau Selatan kemudian melebarkan lagi jaringan menerusi Daryl Sham (m-59), Heberty Fernandes (m-61), Arif Aiman (m-64) sebelum Aysar Hadi (m-93) mengesahkan kemaraan suku akhir Harimau Selatan dengan agregat 15-1.
Pada masa sama Pekan mengakui sepanjang pengetahuannya kemenangan luar biasa dilakar JDT bukan satu amalan kebiasaan dalam saingan merebut kelompok slot lapan terbaik Piala Malaysia.
“Jarang sekali berlaku atau mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah Piala Malaysia sesebuah pasukan mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat sampai 15-1, lainlah kalau 'ia membabitkan pertemuan team dari Liga Super bertemu team dari liga amatur M-4 atau M-5.
“Kita harap keputusan macam ini janganlah berlaku lagi, nak seronok pun rasa tak seronok, nak marah pun bukan hak kita, nak bangga atau riak sangat menang macam tu pun malu rasanya”.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!