Legenda Arsenal kendali ubi muda Perancis
BEKAS penyerang sensasi Perancis, Thierry Henry telah dilantik sebagai pengendali baharu skuad bola sepak Bawah 21 tahun (B-21) negara itu sehingga 2025, kata Persekutuan Bola Sepak Perancis.
Legenda Arsenal itu akan mengetuai B-21 Les Bleus pada Sukan Olimpik tahun depan di Paris, menggantikan Sylvain Ripoll, yang dipecat selepas Perancis tersingkir awal pada kejuaraan B-21 Eropah tahun ini.
Sebagai rekod, bekas pengurus Angers, Gerald Baticle akan menyertai kakitangan Henry sebagai penolong jurulatih pasukan.
Penjaring terbanyak kedua Perancis sepanjang zaman, Henry akan kembali ke pengurusan selepas meninggalkan peranannya sebagai penolong jurulatih Belgium selepas Piala Dunia Qatar 2022 tahun lalu.
Pemain berusia 46 tahun itu, juga bekas pemain Barcelona, pernah melatih pasukan remaja Arsenal, AS Monaco dalam Ligue 1 dan Montreal dalam Liga Bolasepak Utama Amerika Syarikat (MLS).
Henry menamatkan karier sebagai pemain pada 2014 sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa untuk Arsenal - 228 gol - dan selepas memperoleh 123 caps dan menjaringkan 51 gol untuk Perancis.
Kemunculan sulung Henry dalam skuad B-21 adalah untuk perlawanan persahabatan menentang Denmark pada 7 September sebelum menentang Slovenia dalam kelayakan Euro empat hari kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!