Dinosaur Encounter tarikan baharu di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter bakal menjadi tarikan baharu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini dengan mempamerkan hidupan dinosaur prasejarah dari pelbagai zaman.
Pengurus Besar Wegrow Global, Dr Anir Syazwan Sharbirin berkata, ia dapat memberikan pengalaman penjelajahan dunia dinosaur sebenar berasaskan sains kepada pengunjung sekali gus merealisasikan pembelajaran melalui pengalaman secara langsung.
Menurutnya, taman didik hibur tersebut yang dibangunkan dalam bentuk realiti terimbuh (augmented reality) dan realiti maya (virtual reality), animatronik serta teknologi moden untuk menambah baik dan mengasahkan kandungan yang menghasilkan pengalaman bersifat imersif.
"Kita berhasrat mengetengahkan elemen pendidikan yang mencakupi pelbagai layar ilmu pengetahuan bagi semua pengunjung dari pelbagai peringkat umur dalam sektor pelancongan sekali gus membawa manfaat kepada orang ramai.
“Dinosaur Encounter merupakan idea yang kami cetuskan untuk manfaat bersama bagi semua pengunjung. Kami percaya dengan sektor pelancongan yang dilihat rancak mendominasi industri lain, elemen ilmu pengetahuan boleh disuntik demi melahirkan komuniti yang cakna menerusi kepentingan pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Taman Didik Hibur Dinosaur Encounter itu bertemakan ‘Outlast the Past’ dengan mengetengahkan pengenalan spesies mangsa dan pemangsa melibatkan dinosaur Tyrannosaurus rex (T-rex) sebagai pemangsa Apex iaitu pemangsa yang dikategorikan paling tinggi dalam rantaian makanan.
Menurutnya, pelbagai spesies dinosaur termasuk spesies daripada Malaysia dipamerkan di taman didik hibur tersebut.
"Ada juga spesies dinosaur lain yang ditemui dan dilaporkan pernah tinggal di sungai-sungai di Tanah Melayu iaitu raksasa gergasi Spinosaurus. Gigi fosilnya berusia 145 – 75 tahun ditemui pada Februari 2014 di Pahang oleh pasukan ekspedisi yang diketuai oleh Dr Masatoshi Sone dan pasukan penyelidiknya dari Universiti Malaya.
"Replika fosil bagi spesies dinosaur ini juga dihasilkan bagi tontonan orang ramai. Selain itu, spesies dinosaur Iguanadontid juga pernah dilaporkan ditemui di Malaysia,” jelasnya.
Taman didik hibur yang juga merupakan usahasama Wegrow Global dengan PSKT itu mula dibuka kepada pengunjung pada 19 Ogos lepas.
Selain Terengganu, Dinosaur Encounter juga terdapat di beberapa tempat lain termasuk Pusat Sains Negara, Zoo Melaka, Zoo Teruntum Pahang, dan Wetland Studios Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!