Bunga Raya 7s wanita perlu lebih siri pendedahan kompetitif
PENGENDALI skuad ragbi wanita tujuh sebelah (7s) Bawah 20 tahun (B-20) negara, Wan Ibrahim Wan Chik mengakui masih banyak kerja rumah perlu dilakukan dalam memantapkan prestasi pelapis wanita kebangsaan.
“Terdapat beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan untuk diserapkan ke dalam pasukan senior kebangsaan.
“Namun untuk tujuan itu beberapa siri pendedahan yang mencukupi perlu diberikan dalam usaha mematangkan permainan para pemain ini.
“Malah persiapan rapi pasukan juga perlu dilakukan merangkumi beberapa fasa seperti fasa pendedahan dalam dan luar negeri.
“Selain itu para pemain perlu juga dibenarkan bermain dalam pertandingan dalam satu pasukan termasuk setiap bulan diadakan ujian kecergasan terhadap para pemain,” katanya.
Sebagai rekod, skuad ragbi wanita 7s B-20 negara membuka kempen Kejohanan Ragbi 7s B-20 Asia di Kathmandu, Nepal dengan tewas kepada Hong Kong 17-19.
Skuad negara kemudian bangkit menewaskan Nepal 24-0, sebelum tunduk 7-17 kepada Thailand bagi aksi pusingan pertama.
Pusingan kedua skuad negara sekali lagi terpaksa akur kehebatan Thailand apabila tewas 0-26, sebelum menundukan Nepal, 26-0 sebelum sekali lagi akur dominasi Hong Kong dengan kekalahan 7-50.
Keputusan itu menyaksikan Bunga Raya 7s wanita mengakhiri cabaran di kedudukan ketiga dibelakang Hong Kong dalam saingan empat pasukan yang dimenangi Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!