Rasa mi jawa Mak Siti terangkat

Mi jawa tulang
Mi jawa tulang
A
A
A
SEREMBAN - Jika anda seorang penggemar mi jawa, bolehlah mencuba mi jawa Mak Siti yang terletak di Medan Selera Penghulu Cantik di sini.

Keenakan dan keunikan rasa kuah mi jawa Mak Siti ini lain daripada yang lain, dengan dihasilkan menggunakan resipi asli turun temurun.

Bagi mendapatkan kepastian, penulis sendiri merasai keenakan mi jawa Mak Siti yang dibuat secara turun temurun sejak 1983.

Rasa kuah yang sedap, pekat dan tidak terlalu pedas dan manis itu, sudah pasti tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, ditambah pula dengan sos cili istimewa, menambahkan lagi keenakan rasa kuah mi jawa itu.

Hanya mereka yang makan dan mencubanya sahaja dapat mencari perbezaan mi jawa Mak Siti ini, berbanding kedai lain.

Bahan utama kuah dan sos cili

Menurut pemilik kedai, Rosli Osman, 44, rahsia keenakan mi jawanya terletak kepada kuah dan sos cili yang dibuatnya sendiri menggunakan resipi keluarga.

Kata Rosli, hidangan tersebut sangat sedap di makan bersama sos cili yang dihasilkan sendiri dengan menggunakan cili kisar, gula dan beberapa bahan masakan lain yang istimewa.

“Semua orang boleh buat mi jawa, tetapi rasa kuah dan sos cili yang dibuatnya sendiri secara turun-temurun tidak akan sama dengan kedai lain.
Artikel Berkaitan:


“Jika makan mi jawa kedai saya, anda tidak akan dapat rasa kat tempat lain, tidak sama rasa kuah dan sos cili kedai kami dengan tempat lain,” katanya.

Jaga kualiti dan harga murah

Rosli yang berniaga sejak 16 tahun lalu di Medan Selera Penghulu Cantik ini, akui bersyukur kerana perniagaannya semakin maju dan pelanggan pun semakin bertambah.

Katanya, resipi istimewa keluarga ini hasil air tangan ibunya, Siti Hawa Yasin, 68, yang menjalankan perniagaan sama di Temiang sejak 1983 dan sehingga kini.

“Pesan mak, hidangkan makanan yang boleh dimakan, sentiasa jaga kualiti makanan terutama kuah dan bahan-bahan yang digunakan.

“Kalau tak habis jangan simpan, jangan guna kuah semalam untuk berniaga kerana kualiti tidak akan sama dengan kuah dan juga bahan-bahan makanan yang baru,” katanya.

Katanya, kedainya menyediakan mi jawa daging, ayam dan tulang dengan harga RM5.50 (mi daging dan ayam), manakala RM7 bagi mi jawa tulang.

Kedai Mi Jawa Mak Siti di Medan Selera Penghulu Cantik, beroperasi setiap hari bermula jam 7.30 pagi sehingga 4.30 petang, manakala pada hari Ahad, sehingga jam 2.30 petang sahaja.

Selain di Penghulu Cantik, kedai Mi Jawa Mak Siti ini boleh ditemui di sekitar Lukut, Port Dickson; Temiang dan Seremban 2 City Park.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!