Banjir tak surut lagi, penduduk rayu bantuan segera

Seramai 83 penduduk dari 15 keluarga ditempatkan di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung di sini sejak awal pagi kelmarin. Gambar kecil: Ahmad Nor, Asmawati dan Noor Hafiza
Seramai 83 penduduk dari 15 keluarga ditempatkan di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung di sini sejak awal pagi kelmarin. Gambar kecil: Ahmad Nor, Asmawati dan Noor Hafiza
A
A
A

SUNGAI DUA - Penduduk Kampung Petani, Merbau Kudung di sini mahu pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Menurut mereka, isu banjir yang melanda di kawasan kampung mereka bukanlah perkara baharu tetapi telah berlarutan sejak sekian lama.

Bukan sahaja menyebabkan kerugian ribuan ringgit malah ancaman keselamatan seperti haiwan berbisa masuk ke dalam rumah ketika banjir berlaku meresahkan penduduk di sini.

Seorang penduduk, Ahmad Noor Ariffin,61, berkata, kejadian banjir besar ini sudah tiga kali dilalui sejak tinggal di situ.

"Saya mohon, pindahkan kami ke tempat yang lebih selamat. Masalah parit sempit dan tersumbat dipercayai antara punca menyebabkan kampung kami cepat dinaiki air apabila hujan lebat dan berlarutan.

"Kami dipindahkan di sini pada awal pagi Khamis lalu selepas air banjir naik secara mendadak. Selepas selamatkan barangan dan dokumen penting, kami dibawa oleh pasukan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) ke pusat pemindahan banjir di Dewan Muhibbah di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, ini merupakan pengalaman pertama menghadapi banjir pada bulan puasa, namun bersyukur kerana pihak yang berkaitan memberi bantuan yang secukupnya termasuk menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa.

Bagi Asmawati Abdullah,34, lokasi rumah yang berhampiran dengan sungai menyebabkan air cepat naik hingga memaksa dia bersama 10 ahli keluarga yang lain bergegas pindah ke pusat pemindahan mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya yang mempunyai lima anak yang berusia daripada 6 hingga 17 tahun bimbang kerana haiwan berbisa sering masuk ke rumahnya setiap kali banjir berlaku.

"Itu yang paling saya takutkan sebab sebelum ini pernah ular masuk sampai ke dalam rumah. Kerosakan harta benda tak payah cerita dan berpuluh ribu ringgit kami habis disebabkan bencana banjir ini.

"Lepas banjir besar pada 2017 lalu, memang kami dah tak beli perabot atau barang elektrik sangat sebab setiap kali hujan lebat dan berlarutan pasti rumah kami akan dinaiki air," katanya.

Dalam pada itu, Noor Hafiza Saad, 38, pula juga sedih dengan dugaan ini namun bersyukur kerana pihak yang bertanggungjawab segera menyelamatkan mereka dan memberi bantuan dan tempat perlindungan sementara menunggu banjir surut.

"Kalau hujan masih berterusan mungkin kami akan tinggal lagi sehari dua di sini. Setiap kali hujan lebat kami memang tak lena memikirkan keadaan rumah kami nanti.

"Saya harap pihak kerajaan negeri dan jabatan yang bertanggungjawab dapat mencari jalan penyelesaian dalam isu ini kerana kami dah letih nak hadap banjir ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!