TikToker dikecam duduk di PPR tapi gaya hidup T20
TIKTOKER yang dikenali sebagai Syamimia baru-baru ini tular selepas dikecam segelintir netizen gara-gara menetap di rumah flat namun memiliki hiasan seperti perabot dan barangan elekrik jenama mewah.
Kehidupan Syamimia tampak serba mewah di rumah tersebut mengundang pendebatan netizen yang mempersoalkan taraf hidupnya tidak sesuai untuk duduk di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).
Bagi menjernihkan keadaan, Syamimia akhirnya tampil ‘membuka mulut’.
Katanya, rumah tersebut merupakan peninggalan arwah ibunya sebelum meninggal dunia.
“Iya betul, saya berhenti belajar lepas Ummi meninggal. Ummi baru berapa bulan beli rumah Ini dan tiba-tiba meninggal dunia. Saya cari kerja untuk bayar semua hutang Ummi termasuk habiskan bayaran rumah di usia saya 20 tahun, seorang diri di KL (Kuala Lumpur).
“Supaya Ummi tenang di ‘rumah baharu’. Saya simpan rapi kisah ni sebab saya sangat perahsia orangnya dan tak manis pun nak perjelaskan pada strangers (orang luar)," dedahnya.
Syamimia turut menceritakan bahawa rumah berkenaan mempunyai tunggakan yang banyak.
“Sangat banyak jumlahnya tetapi sebelum memiliki rumah ini, saya perlu ‘ditemu duga’ oleh tuan hakim membuktikan umur 20 tahun boleh tak uruskan rumah ini.
“Bil elektrik tertunggak ribuan ringgit, bil air (sebab Ummi dah berbulan tak kerja), baki loan rumah ni sangat banyak (90 peratus baki),” kongsinya menerusi TikTok.
Pada perkongsian yang sama, Syamimia turut meluahkan rasa syukur kerana berjaya melunaskan baki tertunggak dan berniat untuk menghadiahkan rumah itu kepada adik kesayangannya iaitu Syarina.
“Alhamdulillah saya dapat selesaikan di usia muda dan rumah ini diberikan kepada saya kerana saya dapat melunaskan baki. Ini salah satu impian cara saya buat Ummi happy sebab dia pun suka rumah cantik.
“Saya juga pernah berseloroh sebelum ni, ingat tak? Jika saya ada rumah baharu, rumah ini dan segala isinya akan saya hadiahkan pada buah hati saya, Syarina.
“Sekarang visi saya adalah membeli kebahagiaan buat adik, suami, adik ipar dan anak-anak. Salam perkenalan, saya Syamimi yang suka mendeko berhias dan memasak,” katanya.
Sebelum ini, sejarah kehidupan Syamimia yang dibesarkan oleh ibu tunggal kelainan upaya yang cacat penglihatan atau buta pernah menarik perhatian ramai. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!