Satu lagi himpunan rakyat akan diadakan
KUALA LUMPUR - Satu lagi himpunan rakyat dirancang untuk diadakan di ibu kota sebagai tanda protes terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (Sedar) Malaysia dalam satu kenyataan berkata, 'Perhimpunan Apa Sudah Jadi?' itu dijadual berlangsung pada 17 Ogos ini sempena setahun 100 hari PH memerintah.
"Sedar Malaysia telah memulakan proses untuk memohon kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kami akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menjayakan perhimpunan ini.
"Sedar Malaysia juga akan mengundang pemimpin pembangkang dan kerajaan untuk hadir mendengar sendiri suara rakyat pada hari berkenaan," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan PH telah gagal dalam tempoh setahun pertama pemerintahan mereka.
"Di dalam kerakusan kempen PH memastikan naratif dibawa mereka selama ini terhadap kerajaan BN adalah benar, mereka telah alpa, cuai dan memangsakan rakyat marhaen," dakwanya.
Katanya, sebagai sebuah NGO yang bertindak sebagai semak dan imbang dan memperjuangkan rakyat marhaen, Sedar Malaysia dengan kapasiti terhad telah cuba sebaik mungkin untuk membantu.
"Antara inisiatif kami ialah menubuhkan Tabung Beras (Bersama Rakyat Susah) dan Bantuan Penempatan Kerja untuk mereka yang telah kehilangan kerja selepas PRU14 terutama bekas penjawat awam.
"Tetapi inisiatif ini tidak cukup untuk menginsafkan kerajaan PH yang langsung tidak peka dengan kebajikan rakyat. Oleh itu Sedar Malaysia akan membawa keresahan rakyat marhaen yang tersepit disebabkan kegagalan PH ke jalanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!