PRK: Amanah alukan sokongan Muda
JOHOR BAHRU - Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberikan sokongan penuh kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, amat dialu-alukan.
Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, Amanah menerima sokongan itu meskipun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, Muda bergerak solo dan tidak bersama Pakatan Harapan (PH).
"Kita buka seluasnya pintu kepada sesiapa sahaja termasuk Muda yang menyokong calon kita pada PRK kali ini. Tiada masalah kerana Amanah sentiasa terbuka dengan sokongan Muda.
"Tetapi jika tanya saya tentang jentera, pada PRK kali ini di bawah Kerajaan Perpaduan, logo PH digunakan. Jika Muda mahu bantu jentera, terpulang kepada mereka sama ada mahu gunakan logo PH atau tidak," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PH Johor menambah hubungan Amanah dan Muda di Johor agak baik ketika berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu.
"Kalau imbas sejarah, Amanah memberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Muda ketika PRN Johor. Ia termasuklah DUN Puteri Wangsa yang dimenangi Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz.
"Selain itu, Muda dan Allahyarham Salahuddin Ayub cukup rapat dan kerap menerima nasihat, perkara ini diakui sendiri Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya.
Pada Isnin Muda mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 Ogos.
Selain itu, parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada calon Amanah di kedua-dua PRK tersebut.
Menurut Pengerusi Eksekutif Muda Negeri Johor, Azrol Rajani, keputusan tersebut adalah sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Salahuddin Ayub.
PRK di kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat diumum sebagai calon parti itu di Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman pula diletakkan untuk bertanding di kerusi DUN Simpang Jeram.
SPR telah menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos ini.
Pengundian awal pula pada 5 September dan hari pengundian 9 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!