Gurau pukul kepala: Wanita PKR gesa Sanusi mohon maaf
SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa membuat permohonan maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang tidak menghormati mana-mana wanita.
Pengarah Komunikasi Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Noraini Nordin berkata, walaupun Sanusi menjelaskan tindakannya mengetuk kepala seorang wanita muda dengan kertas adalah sekadar bergurau, tetapi perbuatannya itu tetap salah daripada segi adab.
Menurutnya, Sanusi seolah-olah meremehkan maruah wanita apatah lagi tindakan dibuat terhadap seseorang wanita yang sudah dewasa.
"Sedangkan anak kecil pun tidak boleh kita perlakukan begitu apatah terhadap seorang wanita.
"Lagi pula, beliau melakukannya di tempat terbuka yang dilihat oleh ramai orang dan wanita muda berkenaan juga ada urusan rasmi dengannya iaitu berkaitan permohonan bantuan untuk pembelajarannya.
"Bukan saja wanita muda berkenaan tentunya terasa dimalukan diperlakukan sedemikian, bahkan keluarga dan ibu bapanya juga pasti tidak senang hati sama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, sebagai Menteri Besar atau ketua kerajaan negeri, perbuatan Sanusi amat tidak wajar dan memberi gambaran sikap kepimpinannya yang kasar dalam melayani rakyat jelata, terutama kaum wanita.
"Begitukah cara dan layanan beliau dalam melayan rakyat dalam urusan yang bukan berkaitan keluarga, sebaliknya atas urusan rasminya sebagai Menteri Besar?
"Wanita PKR juga dalam hal ini ingin mengajak semua kaum wanita di negara ini agar bersuara membantah perbuatan Menteri Besar Kedah itu demi mempertahankan maruah wanita secara keseluruhannya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Gurauan Sanusi pukul kepala sangat tidak beradab - Amira Aisya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!