FELDA bantu usahawan kembangkan bisnes
TUBF inisiatif Felda dan kerajaan lahirkan usahawan berjaya
Dana pusingan keseluruhan berjumlah RM10 juta Tabung Usahawan Belia (TUBF) merupakan inisiatif Kerajaan dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam membantu usahawan muda memulakan dan mengukuhkan perniagaan.
TUBF telah diinspirasikan untuk memberi manfaat usahawan belia Felda yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Felda turut mengadakan kerjasama strategik dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai ejen pengurusan pembiayaan, latihan, kutipan bayaran balik dan pemantauan serta pelaporan prestasi perniagaan sepanjang tempoh pembiayaan TUBF.
Usahawan yang ditawarkan pembiayaan TUBF perlu mengikuti program latihan induksi dan bimbingan perniagaan anjuran BIMB dengan pembiayaan akan dikreditkan ke akaun peminjam setelah peminjam menghadiri latihan induksi.
Snek rumpai laut ‘TienyHerry’ setanding produk import
Bermula dengan menjual kerepek berasaskan rumpai laut dari rumah, Muhammad Zulkhairi Zulkefli,37, kini bergelar usahawan berjaya selepas memasarkan produknya ke pasar raya dan lebih 50 kedai termasuk stesen minyak di sekitar Pahang.
Anak kelahiran Felda Chini 4, itu berkata, dia mengambil masa lima tahun untuk membangunkan kerepek rumpai laut dengan jenama TienyHerry.
“Hasil bantuan TUBF sebanyak RM20,000 (RM10,000 pinjaman, RM10,000 geran Bank Islam) saya gunakan sebaiknya untuk membuat penyelidikan dan pembangunan produk.
“Kini terdapat dua jenis kerepek rumpai laut perasa keju dan cili setiap satunya seberat 100 gram menggunakan pembungkusan jenis kunci zip aluminium foil yang boleh bertahan selama setahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, rumpai laut segar yang diperolehi dari Semporna, Sabah itu diproses menggunakan pemindahan teknologi Jepun bagi memastikan kualitinya terjamin.
“Setiap bulan kami mampu menghasilkan 800 hingga 1,000 pek (satu pek/100gram) dengan setiap pek dijual pada harga RM16.
“Alhamdulillah sekarang ini syarikat dalam peringkat untuk meluaskan lagi edaran ke pasar raya Nirwana yang mempunyai 18 cawangan di Johor dan Pahang,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembangunan produk baru keluarannya, Pengarah Urusan At-Thahiri Trading itu berkata pihaknya sedang membangunkan krepek rumpai laut perisa dari buah strawberi asli.
“Produk ini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan dan ini antara usaha kami untuk mempelbagaikan produk,” ujarnya.
Tambah Zulkhairi, bagi memberi keyakinan kepada pengguna, kerepek rumpai laut keluarannya kini ke arah pensijillan dan ISO.
Kerepek TienyHerry boleh didapati di Outlet Sawari Felda (Kuala Lumpur); Kedai Mesra Petronas; Bangunan Miti; Mizalicious, Port Klang dan juga boleh dibeli menerusi Facebook dan TikTok TienyHerry, serta platform e-dagang Shopee dan juga Lazada. Untuk maklumat lanjut hubungi 013-9937262.
Nurlina kembangkan bisnes Kedai Makan ‘Mek Yam Ghani’
Kedai Makan ‘Mek Yam Ghani’ yang terletak di Felda Neram 01, Kemaman di sini cukup popular di kalangan peminat nasi berlauk di sekitar daerah Kemaman, Terengganu.
Pemiliknya, Nurlina Mat Ghani, 38, berkata, legasi kedai makan yang dimulakan oleh keluarganya sejak 30 tahun lalu itu bukan mudah untuk dipertahankan.
Menurutnya, berkat sokongan suami dan juga keluarga kedai makan yang mula diambil alih sejak 13 tahun lalu itu kini mula mempelbagaikan hidangan makanan termasuk mengeluarkan pes gulai ayam dan daging.
“Dulu ada hanya ada nasi dagang, nasi berlauk dan nasi minyak sahaja. Tapi selepas saya ambil alih pada tahun 2011, saya tambah nasi kerabu dan nasi lemak bersama aneka kuih muih yang diambil dari orang kampung.
“Kami menawarkan dua jenis gulai, iaitu gulai ayam dan daging dan semua lauk pauk ini kami masak sendiri,” katanya.
Penerima Anugerah Usahawan Mikro Desa 2023 itu berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan TUBF.
“RM10,000 dalam bentuk pinjaman manakala RM6,000 dalam bentuk geran daripada Bank Islam saya gunakan untuk membeli peti sejuk dua pintu, mesin pengisar, peti sejuk beku serta cawan dan pinggan,” katanya.
Jelas anak keenam dari sembilan beradik itu lagi, dengan adanya peralatan berkenaan ia dapat memudahkan penyimpanan stok barangan basah dalam kuantiti yang banyak.
“Kami juga dalam proses untuk memperkenalkan pes gulai ayam dan daging untuk jenama ‘Mek Yam Ghani’ kerana terdapat permintaan tinggi terhadap gulai yang kami buat.
“Pes ini lebih mudah bagi pelanggan yang merindui masakan gulai kami,” ujarnya.
Tambah Nurlina, Kedai Makan Mek Yam Ghani turut menerima tempahan katering untuk apa jua majlis termasuklah majlis perkahwinan,kendur,program masjid dan surau dan lain-lain lagi.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubunginya menerusi talian 011-11464148.
Bekas wartawan jadi usahawan roti canai sejuk beku
Hikmah diberhentikan kerja kerana penstrukturan syarikat pada 2020 mendorong bekas wartawan Khairul Najib Asarulah Khan, 32, menceburi bidang perniagaan roti canai sejuk beku.
Perniagaan yang diambil alih dari ayah dan ibunya di Jempol, Negeri Sembilan itu membuahkan hasil apabila roti canai sejuk beku di bawah label Syarikat Cahaya Rasul (CR) Global Trading miliknya mendapat sambutan yang baik dari pelanggan.
“Ibu dan ayah memang mengusahakan kedai roti canai sejak tahun 1988, dengan pengalaman yang ada saya mahu kembangkan bisnes keluarga ini dengan memperkenalkan roti canai sejuk beku kerana penyediaannya mudah dan roti canai digemari oleh rakyat Malaysia,” kata anak keempat dari lima beradik itu.
Menurutnya, pemenang tempat pertama Program Usahawan Siswazah (Grow) PKNS itu, beberapa perubahan dilakukan terutamanya dari segi pemasaran membuatkan produk dikeluarkan semakin dikenali.
Selain roti canai, syarikat Khairul yang beroperasi di Felda Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan kini mengeluarkan roti boom, roti canai pedas, roti paratha dan capati.
Bercerita lebih lanjut mengenai bantuan TUBF yang diterimanya, ia banyak membantu untuk mengembangkan perniagaannya.
“RM20,000 bantuan TUBF itu saya gunakan untuk membeli peralatan membuat roti canai dan terbaharu sistem ejen dan dropship diwujudkan untuk menembusi pasaran Lembah Klang,
"Ternyata bidang ini memberi kepuasan apabila saya dapat maklum balas positif daripada pengguna dan ejen mengenai produk roti canai yang dikeluarkan berkualiti," ujarnya.
Terbaharu, syarikat itu sudah mengeluarkan murtabak mini ayam, daging dan sardin serta akan datang karipap sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi ketika ini.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut layari Facebook: CR Khan Produk atau Intagram: crkhanfrozen atau hubungi 010-4353100.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!