Tiga dasar jadikan Selangor terus gemilang - Amirudin

Amirudin (tengah) bersama Exco Selangor yang baharu ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Amirudin (tengah) bersama Exco Selangor yang baharu ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menggariskan tiga dasar yang harus dilaksana bagi meneruskan kecemerlangan dan pembangunan negeri bagi sesi penggal baharu.

Beliau berkata, asas pertama merupakan pelaksanaan segala rangka dan dasar yang dirancang seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Iltizam Selangor Penyayang (ISP), sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Tegasnya, usaha meneruskan kesinambungan itu tidak hanya melibatkan pentadbiran tertinggi tetapi harus disokong penjawat awam, anak syarikat kerajaan negeri dan golongan akar umbi.

“Kedua kesediaan kita bertindak sebagai pasukan. Selepas faham segala dasar, sikap bekerja sebagai pasukan penting. Semua kena tahu tugas masing-masing sama ada Persekutuan atau negeri kerana rakyat melihat kerajaan, bukan mengikut jabatan.

“Untuk jadikan kita lebih hebat dan padu dalam melaksana tugas serta tanggungjawab, tanamkan semangat cintai, sayangi dan patriotik kepada negara dan negeri.

“Selain dasar, fahamkan juga sejarah dan latar belakang untuk kita kekalkan keharmonian. Ini tiga cara asas untuk kita terus maju dan bawa Selangor sebagai negeri gemilang,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Amirudin ketika ditemui selepas majlis itu berkata, mesej disampaikan kepada penjawat awam negeri itu adalah jelas dan berterus terang bagi melaksanakan dasar serta janji yang dikemukakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyampaikan mesej yang saya rasa sangat 'straight foward' kepada semua penjawat awam bahawa kita ingin melaksanakan semua dasar-dasar dan janji yang telah kita kemukakan.

"Ia harus difahami oleh barisan pasukan penjawat awam di peringkat negeri dan kaedah tersebut saya percaya, kita akan dapat memastikan penyampaian sebanyak mungkin dan juga sampai kepada sasaran yang kita telah tetapkan dalam setiap polisi serta program yang akan dan telah kita laksanakan.

"Ini akan menjadi satu permulaan kepada semua penjawat awam untuk bekerja lebih kuat dan lebih keras bagi penggal baharu dan juga bersedia dengan sebarang kemungkinan dan keadaan yang berlaku di persekitaran berdasarkan pengalaman sebelum ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!