Kerajaan tidak pernah abaikan M40 - PM

Anwar berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang hari ini.
Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang hari ini.
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan M40.

Beliau berkata, dakwaan beberapa pihak bahawa pendekatan kerajaan lebih tertumpu kepada golongan B40 sehingga mengabaikan kumpulan yang berpendapatan sederhana itu adalah tidak tepat.

"Jadi beberapa langkah telah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul sebagai contoh tengok semua sekolah menengah sains atau MRSM (Maktab Rendah Sains Malaysia) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil tidak sampai satu atau dua peratus.

"Sebab itu saya usulkan kepada Menteri Pendidikan baru-baru ini, menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidakpun mesti diperuntukkan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Gabenor Bank Negara Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Sementara itu, menyentuh mengenai meritokrasi dalam pendidikan, Perdana Menteri berkata, sistem itu penting tetapi tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria bagi memastikan pengurusan dan tata kelola negara yang adil.

"Kalau nak bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit, Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan.

"Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera)...Saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, jadi mesti ada juga meritokrasi kalau tidak, kita tidak akan angkat yang terbaik dalam kalangan kita," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Menteri Kewangan, justeru menggesa kepimpinan kementerian, bank serta golongan elit mendekati golongan bawahan yang mempunyai pemikiran serta keluhan berbeza dalam perkara berkenaan.

"Kadang-kadang saya runsing juga, kita sudah merdeka sekian lama dan matang tetapi kadang-kadang wacana kita itu ada dua dan ada pemisahan dalam kalangan atasan dan di bawah.

"Oleh kerana dia (golongan bawahan) tersisih dan terabai maka dia akan lari kepada isu kaum dan agama yang sempit kerana kita (golongan atasan) tidak menyantuni mereka," kata beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!