Farid Kamil mula kehidupan baharu, tidak mahu rujuk
AKTOR Farid Kamil, 42, tidak mahu rujuk kembali bekas isterinya, Diana Danielle, 32 dan menyerahkan kepada Allah jika bertemu jodoh kelak.
Beliau juga mahu menjalani kehidupan dengan tenang dan berlapang dada menerima perpisahan tersebut.
"Buat masa ini tidak ada rasa nak rujuk kembali. Pujuk juga tidak.
"Sebenarnya masa depan ini telah tertulis. Jadi apa yang ditakdirkan saya terima sahaja.
"Saya sebagai hamba akan menjalani kehidupan seperti biasa malah mensyukuri segalanya," katanya.
Memulakan kehidupan baharu dengan kembali solo selepas perceraiannya dengan Diana Danielle pada 10 Ogos lalu, Farid reda.
"Ini pengalaman baharu. Saya perlu tempuh dengan keredaan dan kerelaan hati yang pasti saya tahu saya tetap disayangi.
"Mula-mula saya hidup sendiri (solo), bersama dan sendiri pula. Ini satu perjalanan hidup.
"Saya selalu video call dengan anak-anak. Saya tak sempat komunikasi dengan Diana. Kami belum komunikasi secara direct.
"Kami komunikasi melalui pihak peguam. Cuma, saya harap satu hari kami dapat komunikasi demi anak-anak," kongsinya.
Semalam, Diana mendapat hak jagaan anak sepenuhnya terhadap dua orang anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Zulfikri Yasoa pada petang Isnin.
Terdahulu Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Syukran Yusof, menerusi Google Meet memandangkan pelakon filem Anwar itu tidak menghadirkan diri ke mahkamah.
Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!