Selangor capai sasaran kutipan hasil RM2 bilion
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor merekodkan RM2 bilion kutipan hasil negeri setakat Jumaat minggu lalu sebagaimana telah dianggarkan dalam Belanjawan 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya yakin jumlah itu terus meningkat dan tidak mustahil untuk mencapai sehingga RM2.5 bilion menjelang akhir tahun ini.
"Sehingga minggu lalu pada Jumaat kita telah mencapai sasaran RM2 bilion kutipan hasil sebagaimana yang telah dianggarkan dalam Belanjawan 2023.
“Kalau ikut trend semasa, sebenarnya pada bulan Ogos dan September, pilihan raya dan sebagainya mungkin dapat lebihan lebih baik sebagaimana pencapaian sebelum ini.
“Biasanya akan ada ‘surplus’ terutama pelabur-pelabur yang datang dan sebagainya, jadi saya boleh anggarkan minimum kita boleh dapat RM2.3 bilion hingga RM2.4 bilion tetapi untuk mencapai RM2.5 billion itu tidak mustahil,” katanya pada Selasa.
Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Menteri Besar menambah, beliau bagaimanapun tidak mahu bercita-cita tinggi kerana urusan kutipan hasil mempunyai urutan yang tersendiri dan kebiasannya terhenti pada tahap-tahap tertentu.
"Jadi inilah yang kita kena tengok tapi keadaan sekarang ini RM2.3 bilion hingga RM2.4 bilion (kutipan hasil negeri) itu kerajaan negeri boleh dapatlah," tambahnya lagi.
Ketika mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengenai Selangor ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport berbanding Pulau Pinang, Johor dan Sarawak, Menteri Besar memaklumkan, pelaburan di Selangor masih dalam keadaan memberangsangkan.
“Yang disebut Tuanku adalah nilai eksport dan import. Memang ada sedikit anjakan program ekonomi dalam negeri Selangor dan sebahagian ekonomi kita sudah beransur kepada ekonomi perkhidmatan.
“Jadi, pembuatan kita memang agak ‘stagnant’ (tidak berganjak) dekat satu tahap berbanding Pulau Pinang (sektor pembuatan) dalam elektrik dan elektronik,” jelasnya.
“Namun, sejak pandemik Covid-19 terutamanya program ekonomi kita lebih kepada industri perkhidmatan seperti logistik, hub, pengagihan. Itu menyebabkan kita kekal sebagai penyumbang ekonomi terbesar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!