Saifuddin pertahan penguat kuasa ambil buku
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan penguat kuasa di bawah kementeriannya yang mengambil dua naskhah buku di sebuah toko di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Saifuddin berkata, buku berkenaan diambil bagi tujuan penyelidikan dan semakan selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam.
"Istilah lebih tepat adalah kami pergi ambil dua buku sahaja bukan satu kedai. Konotasi dibuat kononnya satu kedai (buku) dirampas," katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini pada Selasa.
Baru-baru ini, anggota KDN dikatakan menyerbu premis di ibu negara dan merampas buku yang tidak tersenarai dalam senarai larangan.
Antara dua naskhah buku tersebut adalah Marx Sang Pendidik Revolusioner dan Koleksi Puisi Masturbasi.
Saifuddin menjelaskan, sekiranya naskhah tersebut tidak bertentangan dengan aspek yang diperuntukkan dalam Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, pihaknya akan memulangkan semula buku itu kepada tuan empunya kedai.
"Kalau hasil penyelidikan nanti menunjukkan tiada apa-apa masalah dan tidak menjejaskan ketenteraman awam, kami pulangkan semula," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin meminta portal berita memaparkan gambar sebenar jam berjenama yang mempunyai unsur lesbian, gay, bisexual, transgender, 'queer' dan Plus (LGBTQ+) yang dirampas sebelum ini.
"Saya ada baca komen orang ramai, masya-ALLAH, mereka kata kami (KDN) sensitif dengan warna padahal kami hanya akan rampas jam yang tertulis LGBT sahaja," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!