Pengawal keselamatan lakukan khianat, miliki mercun dijel 30 bulan

Seorang pengawal keselamatan dipenjara 30 bulan atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan memiliki bahan letupan iaitu mercun tanpa kebenaran. - Gambar hiasan
Seorang pengawal keselamatan dipenjara 30 bulan atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan memiliki bahan letupan iaitu mercun tanpa kebenaran. - Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Seorang pengawal keselamatan dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat menggunakan mercun buatan sendiri dan memiliki bahan letupan iaitu mercun tanpa kebenaran, minggu lepas.

Hapizal Saad, 42, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan melakukan khianat serta penjara 12 bulan bagi pertuduhan memiliki bahan letupan tanpa kebenaran, bagaimanapun mahkamah membenarkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Ogos.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan mercun buatan sendiri dan menyebabkan kerosakan khemah milik Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Utara yang menyebabkan kerugian RM50 di hadapan sekolah tersebut pada 4.50 pagi, 16 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan iaitu 100 biji mercun bola besar dan sekotak mercun Thunder Clap tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di sebuah rumah di Padang Besar pada 5.30 petang, 16 Ogos lepas.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Majistret Ana Rozana turut menjatuhi hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya iaitu amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar pada 5.15 petang, 30 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hasnor Arysha Hamdan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!