Amanah yakin pertahan kerusi di PRK Pulai, Simpang Jeram - Adly
ALOR GAJAH - Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mengekalkan dua kerusi parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor bulan depan.
Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, berdasarkan rekod pencapaian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memberikan perkhidmatan terbaik di dua kawasan berkenaan, tidak mustahil kerusi itu dapat dipertahankan.
Malah menurutnya, DUN Simpang Jeram juga merupakan tapak asas penubuhan parti itu pada 2015 yang banyak melakar sejarah parti, sekali gus bukti kekuatan akar umbi Amanah.
"Ramai orang tak ingat sebenarnya, di kala kita memulakan gerakan harapan baharu penubuhan Amanah itu tapaknya adalah di DUN Simpang Jeram.
"Saya yakin dengan kerjasama Kerajaan Perpaduan ini ditambah dengan kerajaan negeri saya fikir kerjasama antara PH dan BN di Johor akan dapat diterjemahkan melalui kemenangan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Datuk Aminudin Yahaya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, hubungan terjalin antara negeri-negeri BN-PH seperti di Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan juga baik dan yakin hubungan positif itu dapat diterjemahkan melalui kemenangan dua kerusi berkenaan.
Kerusi Parlimen Pulai kosong berikutan kematian penyandangnya, Salahudin, 61, pada 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos dan hari pengundian pada 9 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!