'Saya sentiasa diburu scammer...' - Diana Danielle
SERDANG - "Kalau saya hendak ringkaskan sebagai orang yang dikenali, saya sangatlah senantiasa diburu scammer," demikian perkongsian Duta Anti Scam Diana Danielle Danny Beeson, ketika menjadi panel Seminar Kelestarian Integriti, Pembudayaan Integriti Institusi Pengajian Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini pada Selasa.
Beliau yang juga merupakan pelakon terkenal tanah air itu berkata, pernah pada suatu masa beliau dan pihak pengurusannya hampir terjerat dengan perangkap scammer.
Namun jelasnya, beliau bernasib baik kerana dapat 'menghidu' perbuatan berkenaan, justeru pentas forum ini menjadi medannya untuk berkongsi dengan peserta agar tidak menjadi salah seorang mangsa scammer.
"Yang saya ingat, satu pasukan saya ini hampir menjadi mangsa penipuan ini, jadi amat penting juga bagi saya untuk bagi kesedaran bukan sahaja pada diri saya sendiri tetapi kepada pasukan saya juga kerana mereka yang memegang akaun media sosial saya. Dan yang paling penting ini ingatan untuk kamu semua juga.
"Akaun Instagram saya mempunyai 3 juta pengikut, Facebook 2 juta pengikut, kena saya maklum jumlah ini sebab ia sangat bernilai kalau orang itu ambil saya punya akaun, dia boleh jual dalam harga yang sangat tinggi, sebab atas kapasiti saya, (artis) bukan pinjam RM100 saya boleh minta RM50,000 sehingga RM100,000," katanya.
Yang turut menjadi panel, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin; Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Ida Madieha Abdul Ghani Azmi dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang juga merupakan 'Duta Anti-Scam', Asisten Superintenden Rahmat Fitri Abdullah.
Sebab itulah katanya, beliau kini lebih berhati-hati untuk membalas pesan e-mel pelanggan dan mengenal pasti pihak yang beliau berurusan.
"Jika scammer itu menggunakan identiti saya, kesannya atas batang tubuh saya, nama saya rosak sebab itulah berdasarkan apa yang berlaku ini saya dan pasukan lebih berhati-hati kerana tidak semua berlaku jujur dan mempunyai integriti," katanya.
Sementara ketika menyentuh mengenai bagaimana beliau mengekalkan nilai integriti dalam dirinya, di sebalik figura yang dikenali ramai, Diana berkata, nilai integriti perlu ditanam dalam diri dan perlu konsisten melakukan perbuatan yang baik bagi mengelak daripada terjebak dengan amalan rasuah.
"Bagi saya nilai ini (integriti) perlu ada dalam jiwa kita sendiri, kita kena pupuk dan senantiasa ingatkan diri, adakah kita sudah banggakan diri kita sendiri, iaitu bangga dengan sifat integriti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!