'Merdeka dengan cara bebas daripada 'penjajahan' rasuah'

Sudah tiba masanya rakyat menghentikan penjajahan amalan rasuah, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.- Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Nurhayati Nordin. - Foto UPM)
Sudah tiba masanya rakyat menghentikan penjajahan amalan rasuah, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.- Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Nurhayati Nordin. - Foto UPM)
A
A
A

SERDANG - Rakyat Malaysia perlu membebaskan diri daripada 'penjajahan' rasuah, yang telah banyak membawa kerosakan di negara ini, sejak berpuluh-puluh tahunan dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, sudah tiba masanya rakyat 'berminda baharu' dengan menghentikan penjajahan amalan rasuah ini, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Katanya, rakyat Malaysia bakal menikmati kesejahteraan hidup yang lebih baik sekiranya negara kita bebas daripada perbuatan jijik berkenaan.

"Misi antirasuah ini bukan misi Perdana Menteri, bukan misi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi misi setiap daripada kita semua (rakyat Malaysia).

"Ini masanya untuk kita semua berkolabaratif bukan untuk berkonfrontasi, oleh itu marilah kita semua bebaskan diri daripada 'penjajahan minda rasuah'," katanya ketika menjadi panel Seminar Kelestarian Integriti, Pembudayaan Integriti Institusi Pengajian Tinggi Universiti Putra Malaysia (UPM), yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Serdang pada Selasa.

Yang turut menjadi panel, Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Ida Madieha Abdul Ghani Azmi; pelakon, penyanyi dan pengacara, Diana Danielle dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang juga merupakan 'Duta Anti-Scam', Asisten Superintenden Rahmat Fitri Abdullah.

Dalam pada itu, Nurhayati menyeru untuk rakyat kembali memasakkan diri dengan prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Percaya Kepada Tuhan, bagi menyemarakkan semangat antirasuah dalam diri masing-masing.

"Sekurang-kurangnya kita kembali kepada kepercayaan masing-masing, percaya bahawa Tuhan melihat perlakuan kita termasuklah perbuatan rasuah, ada yang melihat setiap perlakuan dan perbuatan kita.

Artikel Berkaitan:

"Jadi suburkan amalan-amalan baik, nilai positif dan semestinya tolak perbuatan rasuah," katanya.