Ekonomi Madani perlu dilaksana dengan tekad - Gabenor BNM

Abdul Rasheed berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang hari ini. - Foto Bernama
Abdul Rasheed berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rencana dasar Ekonomi Madani perlu dilaksanakan dengan tekad untuk membebaskan Malaysia daripada perangkap negara berpendapatan sederhana dan seterusnya menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia berada di persimpangan dan dasar ekonomi serta kewangan hari ini bakal menentukan hala tuju dan trajektori pembangunan negara pada masa hadapan.

"Jurang antara golongan yang kaya dan miskin semakin meluas, dan ia perlu ditangani dan diimbangi dengan pembangunan sebuah masyarakat yang inklusif, adil, saksama, dan mengekalkan integriti sosial,” katanya semasa berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata, sektor kewangan berperanan penting sebagai pemangkin pertumbuhan sesebuah ekonomi.

"Sektor kewangan menjadi pengantara antara mereka yang berpendapatan lebih dengan mereka yang memerlukan dana, menyediakan modal dan kredit kepada ekonomi, memudahkan pelbagai jenis transaksi kewangan dan memungkinkan pengurusan risiko melalui pelbagai instrumen dan juga produk.

"Hasrat BNM adalah untuk membangunkan sektor kewangan yang progresif, teguh, telus dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kemajuan yang lebih adil, setara, bermakna dan inklusif buat rakyat negara ini,” katanya.

Mengenai iTekad, beliau berkata, program itu dibangunkan dengan mengetengahkan kewangan sosial sebagai komponen penting dalam ekosistem kewangan di Malaysia untuk memangkin pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang.

Menurutnya, kewangan sosial memberikan penekanan untuk mencipta impak sosial yang positif selain daripada pulangan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rasheed berkata, sejak dilancarkan pada 2022, inisiatif iTekad telah menggerakkan lebih RM40 juta dana kewangan sosial setakat ini melibatkan 11 institusi kewangan, lebih 50 rakan pelaksana dan memberi manfaat yang ketara kepada lebih 3,000 peserta.

Katanya, ini termasuk peningkatan dalam pertumbuhan perniagaan, kemampuan menggaji pekerja, perniagaan yang lebih berdaya tahan dan dapat memanfaatkan teknologi dalam perniagaan.

"Kewangan sosial mampu memberi satu dimensi baharu pembangunan sosio-ekonomi rakyat dengan menerapkan prinsip-prinsip sistem kewangan yang inklusif, mempertimbang impak jangka panjang serta menyatupadukan semua pihak berkepentingan.

"Bank Negara kekal komited untuk mengetengahkan kewangan sosial dalam ekosistem kewangan Malaysia, termasuk menerajui perkembangan program iTekad seterusnya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!