Malaysia tetapkan penanda aras industri halal menerusi sains, inovasi

Malaysia menyasarkan untuk memperluas capaian pasaran halal secara kolektif dan memastikan manfaat ekosistem halal yang teguh melangkaui sempadan negara. - Gambar hiasan
Malaysia menyasarkan untuk memperluas capaian pasaran halal secara kolektif dan memastikan manfaat ekosistem halal yang teguh melangkaui sempadan negara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal telah menetapkan penanda aras ke arah menegakkan integriti dan nilai halal melalui sains dan inovasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’m Mokhtar berkata, untuk itu, Malaysia menyasarkan untuk memperluas capaian pasaran halal secara kolektif dan memastikan manfaat ekosistem halal yang teguh melangkaui sempadan negara.

"Komitmen Malaysia dalam industri halal bukan hanya mengenai pertumbuhan ekonomi, tetapi ia berakar umbi dalam nilai dan prinsip kami.

"Jabatan Perdana Menteri melalui usaha dedikasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kekal teguh dalam komitmen kami untuk menegakkan integriti dan ketulenan ekosistem halal,” katanya pada persidangan International Halal Science Conference (IHASC) 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mohd Na’im berkata, tema IHASC 2023, 'Kelestarian Industri Halal Melalui Sains' juga seiring dengan matlamat Malaysia apabila negara mengiktiraf peranan sains dan inovasi dalam melestarikan industri halal yang berdaya tahan dan berkembang maju.

"Kami berhasrat untuk melahirkan idea baharu dan kreatif berkaitan halal dan sains daripada persidangan ini.

"Industri halal tidak seharusnya terhad kepada konsep halal semata-mata, tetapi juga perlu kreatif dan inovatif dalam penyampaiannya, seiring dengan kemajuan sains dan teknologi, Islam tidak menentang sains, selagi prinsip halal tetap utuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Persidangan dua hari itu turut menyaksikan 57 peserta membuat pembentangan termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Arab Saudi, Switzerland dan Thailand. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!