Nahas Elmina setakat ini diklasifikasi sebagai SDR - Polis
SHAH ALAM - Siasatan yang dijalankan polis berhubung nahas pesawat terhempas di Elmina,Seksyen U16, Khamis lalu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun polis masih menunggu hasil laporan siasatan yang dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
"Siasatan berkaitan kejadian masih dalam siasatan BSKU, dan difahamkan masih berjalan dari segi faktor kemalangan tersebut berlaku.
"Siasatan yang dijalankan polis adalah melibatkan kematian, pengecaman jenazah mangsa dan urusan serahan jenazah keluarga mangsa serta sebarang unsur yang melibatkan jenayah. Setakat ini kes ini masih diklasifikasikan sebagai SDR," katanya menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Selasa.
Katanya, bangkai dan serpihan utama yang diperlukan untuk siasatan pakar penerbangan sudah dialihkan sepenuhnya dari lokasi nahas itu.
"Tidak timbul sebarang isu melibatkan kawasan tersebut, ia merupakan kawasan awam dan boleh dikunjungi oleh orang ramai seperti biasa, tiada kawalan sebagaimana sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Hussein berkata, sebarang spekulasi berkaitan kejadian tidak seharusnya ditimbulkan kerana ia secara langsung mengganggu emosi ahli keluarga terlibat.
"Ada spekulasi berhubung unsur jenayah dan sebagainya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana akan menggusarkan keluarga mangsa.
"Saya nasihatkan kepada awam, ada sebarang maklumat terus salurkan kepada polis untuk siasatan lanjut, itu sebaiknya," katanya.
Isnin lalu, media melaporkan, polis akan mengambil alih siasatan terhadap kejadian nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, pada Khamis lepas sekiranya terdapat unsur jenayah ataupun ‘foul play’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan akan dijalankan sekiranya dimaklumkan berlaku unsur tersebut oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang kini bertanggungjawab menyiasat punca nahas itu.
"Kalau mereka nampak sebarang perkara (mencurigakan), BSKU akan maklumkan dan polis ambil alih (siasatan).
"Sekarang urusan BSKU. Polis punya siasatan sudah selesai. Kita dah pun rekod (keterangan) saksi-saksi awam, jadi sebahagian daripada siasatan (polis) boleh digunakan oleh BSKU," katanya.
Pada Ahad, Hussein mengesahkan tiada lagi mana-mana individu yang terlibat dan terkorban selain daripada 10 mangsa itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.
Dua lagi adalah orang awam iaitu penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!