Trump sedia serah diri
WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) yang tidak lekang kontroversi, Donald Trump mengesahkan beliau akan menyerah diri pada Khamis ini untuk menghadapi dakwaan jenayah berhubung cubaannya mahu membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020 di negeri Georgia.
Trump, 77, turut menzahirkan amarah beliau menerusi platform Truth Social pada Isnin.
"Saya akan ditahan oleh Peguam Daerah Radikal, Fani Willis," katanya merujuk kepada peguam dari Georgia yang mengheret bilionair hartanah itu di bawah pertuduhan keempat pada tahun ini.
Trump turut menuduh Willis bertindak di bawah telunjuk 'tidak sah' Badan Kehakiman (DOJ) yang mengikut arahan Presiden Joe Biden.
Presiden ke-45 AS itu sekali lagi mendakwa siri pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atasnya sejak awal tahun lalu sebagai cubaan menghalangnya untuk merebut semula jawatan di Rumah Putih.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Daerah Fulton, Scott McAfee meluluskan bon AS$200,000 (RM929,600) berhubung kes yang difailkan negeri selatan AS tersebut.
Trump bersama 18 defendan lain diberi tempoh sehingga tengah hari Jumaat (waktu tempatan) untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa Georgia.
McAfee turut menetapkan beberapa syarat di bawah perjanjian bersama pendakwa raya dan peguam bela beliau.
Difahamkan, Willis telah memohon kepada hakim untuk menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 Mac 2024.
Menerusi kes berasingan, Peguam Khas, Jack Smith turut meminta hakim persekutuan menetapkan 2 Januari depan sebagai tarikh bagi membicarakan Trump di Washington berhubung tuduhan bersubahat untuk mengubah keputusan pilihan raya 2020.
Walaupun berdepan kes mahkamah, Trump dilaporkan mendahului pesaing terdekatnya daripada Parti Repulikan (GOP), Ron DeSantis dengan 23 mata peratusan berbanding 19 mata diraih Gabenor Florida itu.
Keputusan kaji selidik dilakukan The Des Moines Register, NBC News dan Mediacom menunjukkan 42 peratus pengundi GOP merancang untuk menyokong beliau. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!