Majikan digesa patuh Akta Pekerja - Sivakumar

Sivakumar - Foto Bernama
Sivakumar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majikan digesa untuk mematuhi Akta Pekerja 1955 (Akta 265) khususnya melibatkan pembayaran gaji pekerja susulan terdapat aduan bahawa segelintir tenaga kerja tidak dibayar gaji atau ditahan gaji.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, gaji yang tidak dibayar atau ditahan adalah satu kesalahan dari 11 elemen buruh paksa yang digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Katanya, kementerian sentiasa berusaha menangani sebarang isu khususnya buruh paksa dan mencari pelbagai mekanisme penyelesaian bagi isu-isu yang timbul.

"Oleh yang demikian, bagi bayaran gaji lewat atau ditahan, kita melihat bahawa mempertingkatkan pematuhan para majikan terhadap pembayaran gaji melalui akaun bank adalah antara mekanisme dalam memantau kapasiti setiap majikan yang ada dalam negara kita.

"Arahan pembayaran gaji melalui akaun bank telah termaktub sekian lama di bawah Akta 265,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata, pembayaran upah secara tunai atau cek hanya boleh dilakukan di atas permintaan pekerja dengan mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) seperti terkandung di bawah Seksyen 25A (1) Akta 265.

"Majikan yang gagal mematuhi arahan di bawah Seksyen 25 dan 25A (1) Akta 265 adalah dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 99A akta sama dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan majikan berkemungkinan dikenakan sekatan dan disabitkan dengan aktiviti buruh paksa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masih belum mendapat maklumat awal bagi proses pampasan kepada empat keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.

"Memang PERKESO prihatin dalam isu ini tetapi oleh kerana ahli keluarga mangsa masih belum bersedia, PERKESO memberi lebih ruang dan masa untuk mereka selesaikan semua urusan terlebih dahulu. PERKESO akan terus membantu dengan kadar segera sebaik sahaja ahli keluarga mangsa bersedia untuk memberi maklumat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam insiden pada Khamis lepas (17 Ogos), pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, mengakibatkan 10 individu maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa terkorban terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.48 petang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!