Kerajaan, pembangkang perlu ada kata sepakat realisasi pendamaian

Mohd Rafiq - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Mohd Rafiq - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dan pembangkang perlu mendapat kata sepakat berhubung peruntukan yang diberikan kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kedua-dua belah pihak sekiranya mahu merealisasikan pelan pendamaian demi rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Mohd Rafiq Mohd Abdullah mendakwa, pengagihan peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat pembangkang tidak sama dengan kerajaan sedangkan ia adalah untuk kegunaan rakyat.

"Pelan pendamaian perlulah bermula dengan keadilan, kenapa agaknya asyik bergaduh dan tidak boleh berdamai? Sebab mereka menidakkan hak rakyat, kalau tidak ada pelan mana datang damainya.

"Sebab itu saya kata selagi peruntukan itu tidak diselaraskan sampai bila-bila pun pendamaian tidak dicapai. Rakyat mengundi dan memilih tetapi berlaku pula sikap pilih kasih dalam pemberian peruntukan, sepatutnya ia bermula dengan keikhlasan, " katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar bertajuk: Pelan Berdamai: Realisasi Atau Mimpi Politik Sekarang yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Dari kiri; Khalid, Noor Azleen, Mohd Rafiq, Khairul Nadzri dan Ismail ketika Wacana Sinar Siri 409, membincangkan tajuk Pelan Berdamai: Realisasi Atau Mimpi Politik yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Dari kiri; Khalid, Noor Azleen, Mohd Rafiq, Khairul Nadzri dan Ismail ketika Wacana Sinar Siri 409, membincangkan tajuk Pelan Berdamai: Realisasi Atau Mimpi Politik yang berlangsung di Studio Sinar Harian pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Turut menjadi panel ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.

Manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Rafiq, jika perkara itu mendapat kata sepakat dan titik pertemuan antara kerajaan dan pembangkang maka tidak akan timbul masalah.

"Jadi, kalau mahu berdamai mesti ada satu persefahaman dan perjanjian yang disetujui oleh semua pihak.

"Selain itu, hak orang Melayu dan Islam juga tidak boleh disentuh, semua orang perlu faham dan akur mengenai perkara tersebut. Kalau tidak bercakaran, kerajaan pun stabil sekali gus dapat memacu ekonomi negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!