Saman ekor perlukan penjelasan kukuh
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan kembali operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara.
Operasi itu bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Susulan itu, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan tersebut di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman. Notis saman akan dipos ke rumah pesalah.
Menurut polis, tindakan itu bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dalam negara.
Malah, memandu melebihi kelajuan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini selepas pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.
Pada dasar, sebarang usaha bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dan menyelamatkan banyak nyawa itu disambut baik oleh rakyat.
Namun, tindakan penguatkuasaan saman ekor pasti tidak disenangi rakyat dan sepatutnya ia diberikan penjelasan yang baik oleh kerajaan.
Sudah pasti, isu tersebut akan dipolitikkan dan memburukkan imej kerajaan serta tidak dilihat sebagai pro-rakyat.
Kira-kira 11 tahun lalu, Datuk Mahfuz Omar yang ketika itu masih dalam Pas berjuang untuk menentang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Beliau juga menubuhkan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) bagi menggerakkan bantahan secara besar-besaran untuk menghalang penguatkuasaan saman tersebut.
Sinar Harian tidak menentang niat baik pihak polis untuk bertindak dengan tegas terhadap pemandu tidak bertanggungjawab. Sebaliknya, mahu rakyat perlu diberikan penerangan dan penjelasan yang kukuh supaya tindakan tersebut diterima baik oleh semua pihak.
Ini adalah teguran yang ikhlas supaya komunikasi kerajaan sepatutnya dibuat dengan lebih baik dan berkesan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, rakyat juga perlu ingat bahawa peraturan had laju di negara ini bukanlah perkara baharu. Ia sudah lama dilaksanakan demi keselamatan semua pihak yang menggunakan jalan raya.
Jika sudah terang dan terbukti anda melakukan kesalahan di jalan raya, maka anda harus terima dengan hati terbuka kesan dan akibatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!