'Pernah nafas terhenti tapi panjang umur terus berbakti' - Dr Samhan

Dr Ahmad Samhan (berdiri) memberi taklimat ringkas kepada beberapa staf di pejabatnya di Chendering.
Dr Ahmad Samhan (berdiri) memberi taklimat ringkas kepada beberapa staf di pejabatnya di Chendering.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pernah berdepan situasi hampir meragut nyawa ketika diuji dengan penyakit ketumbuhan rahang pipi, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, kini menggunakan platform media sosial sebagai usaha mendekatkan dirinya dengan masyarakat menerusi perkongsian ilmu berkaitan perubatan dan kesihatan.

Dr Ahmad Samhan yang merupakan seorang doktor perubatan popular di media sosial mendedahkan pernah berhadapan dengan detik cemas apabila nafasnya terhenti ketika berada di unit rawatan rapi (ICU) akibat penyakit ketumbuhan rahang pipi yang dihadapi sejak 2016.

"Saya mengalami sesak nafas kira-kira jam 3 pagi dan tak boleh bersuara. Ketika itu hanya mampu menggoncangkan katil sebagai isyarat namun akhirnya goncangan katil itu disedari seorang jururawat.

"Ketika nafas saya berhenti. Saya terus mengucap dalam hati dan berdoa kepada ALLAH dengan menyatakan jika ini pengakhiran bagiku maka akhiri aku dengan sebaik-baik pengakhiran selain mati dalam keadaan husnul khatimah.

"Jika tidak, panjangkan umur aku untuk aku beri manfaat pada orang lain. Oleh sebab itu, saya nak jadi orang yang bermanfaat dengan memberi ilmu kepada masyarakat walaupun ia hanya sedikit namun memberi makna dan kebaikan kepada mereka," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Chendering di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samhan menyatakan bahawa beliau terharu apabila perkongsiannya di media sosial memberi manfaat kepada orang ramai.

"Ada yang berterima kasih kepada saya disebabkan oleh 'content' dimuat naik di media sosial sudah banyak mengubah hidup mereka dan ada juga mendoakan apa saya lakukan menerusi perkongsian ilmu itu sebagai asbab untuk masuk syurga.

"Ada beri komen ucap terima kasih banyak-banyak kepada saya kerana terus konsisten beri ilmu. Itu jadi kekuatan pada saya untuk terus beri kebaikan pada orang ramai," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, kata-kata semangat itu mendorong dirinya untuk meneruskan perkongsian ilmu di media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok.

"Kenapa saya perlu berhenti untuk berkongsi (ilmu). Itulah antara kekuatan saya untuk terus memuat naik video di platform sosial media sosial.

"Tugas saya sebagai doktor bukan hanya beri rawatan kepada pesakit tetapi nak mendidik orang ramai mempunyai kesedaran tinggi mengenai soal kesihatan," ulasnya.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samhan berkata, pembabitan beliau sebagai seorang doktor dan juga pempengaruh bukanlah suatu tugas yang mudah dan perlu menghadapi pelbagai cabaran.

"Untuk menjadi seorang 'content creator' bukan mudah sebenarnya. Semasa awal pandemik Covid-19 dahulu, saya perlu merakam dan menyunting video sendiri malah tugas memuat naik di laman sosial juga saya lakukan sendiri.

"Alhamdulillah, tanpa diduga kandungan dimuat naik itu mendapat perhatian sehingga meraih tontonan berjuta-juta dan dikongsi ramai. Niat saya adalah untuk berkongsi ilmu supaya dapat beri manfaat kepada semua pihak," jelasnya.

Dr Ahmad Samhan juga berkongsi beliau turut tersenarai sebagai calon dalam Anugerah TikTok 2023 bagi kategori Best Of Education pada Ahad ini.

Beliau melahirkan rasa syukur atas pencalonan tersebut.

"Mengenai soal menang atau kalah bukanlah suatu pengakhiran kerana saya tetap teruskan berbakti kepada masyarakat menerusi perkongsian ilmu yang bermanfaat melalui media sosial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!