Pemandu lori dijel dua hari, denda RM6,000 pandu melulu
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana memberhentikan kereta secara mengejut sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang penunggang motosikal mengundang padah apabila dia dipenjara dua hari, denda RM6,000 dan lesen memandunya digantung lima tahun oleh Mahkamah Majistret pada Rabu.
Lim Ching Hong, 26, yang bekerja sebagai pemandu lori, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Fatin Dayana Jalil.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh sabitan ini dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu selaku pemandu kereta jenis Lexus LS460L berwarna perak telah memandu dengan membahayakan pengguna jalan raya yang lain di Jalan Syed Putra dekat sini pada jam 9.19 pagi, Ahad lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen tersebut.
Semasa prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir memohon tertuduh dikenakan hukuman maksimum kerana telah membahayakan pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda minimum kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menanggung keluarga.
Pada Selasa, tular di media sosial sebuah video berdurasi 24 saat yang memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu dengan mengubah haluan ke lorong kedua sebelum membrek secara mengejut.
Akibat tindakannya itu, seorang penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya dan jatuh selepas melanggar belakang kereta terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!