Kereta jadi tempat simpan dadah

Bungkusan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bungkusan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dijual terbongkar selepas empat individu termasuk dua wanita ditahan dalam tiga serbuan di sekitar ibu kota, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 16 kilogram bernilai RM520,000.

"Serbuan pertama, kita memberkas seorang lelaki tempatan dan sepasang suami isteri warga Thailand berusia 23 tahun hingga 30 tahun di tepi jalan Taman Pertama, Cheras, di sini pada jam 7 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Allaudeen berkata, susulan serbuan pertama, pihaknya merampas 15 bungkusan dadah syabu di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra di tempat letak kereta Solaris Dutamas.

"Serbuan terakhir, kita menahan seorang lagi wanita warga Thailand berusia 30 tahun yang juga perancang utama di lobi sebuah residensi di Taman Kobena, Cheras pada jam 9.15 malam," katanya.

Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lalu.

"Modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli," katanya.

Allaudeen berkata, pasangan suami isteri merupakan pekerja di sebuah kedai tom yam, manakala lelaki tempatan itu pula bekerja di sebuah ladang kuda di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan untuk mengesan punca bekalan dadah jenis syabu tersebut diperolehi," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati tiga suspek positif Methamphetamine, ketamin dan ganja.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Allaudeen berkata, pihaknya berharap warga kota menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah banda raya yang selamat.

"Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!