Premis haram 20 tahun diroboh
KUANTAN - Isu kacau ganggu dari premis barangan lusuh yang beroperasi tanpa lesen di Lorong Galing 47, Jalan Haji Ahmad di sini selesai selepas pemiliknya akur dengan arahan pengosongan dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Pemilik premis berusia 58 tahun akur dengan arahan dan memberikan kerjasama apabila meroboh struktur premis dan membersihkan kawasan tersebut sebelum 16 Ogos lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, premis yang beroperasi tanpa lesen sejak hampir 20 tahun lalu itu dikesan dalam satu operasi bersepadu pada 11 Januari lalu susulan aduan kacau ganggu daripada penduduk sekitar.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis yang dijadikan tempat mengumpul barangan lusuh dan besi buruk itu beroperasi tanpa lesen, membina struktur binaan tanpa kelulusan dan menyalahgunakan tanah kediaman kepada perniagaan.
"Tindakan notis dan kompaun telah diambil ke atas pemilik mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Seksyen 2 Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBK) 1983 serta Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," katanya ketika ditemui di lokasi premis tersebut pada Rabu.
Chun Kuang berkata, Notis Arahan Meroboh telah dikeluarkan MBK setelah rayuan dikemukakan pemilik ditolak sebelum Notis Masuk Meroboh dikeluarkan pada 13 Julai lalu.
"Pemeriksaan lanjut di lapangan pada 14 dan 15 Ogos lalu mendapati pihak pemilik telah merobohkan struktur binaan sepenuhnya dan kerja pembersihan dan penghapusan kacau ganggu telah pun dijalankan," katanya.
Beliau berkata, antara aduan penduduk yang pernah diterima berhubung operasi premis barangan lusuh itu termasuk masalah longkang tersumbat, pembiakan nyamuk dan kacau ganggu lalu lintas.
"Malah tindakan penguat kuasa juga telah diambil sebelum ini namun pemilik berdegil dengan meneruskan operasi di tapak yang disewa dari pihak lain itu.
"Pemilik juga pernah dikenakan tindakan selepas dikesan mencuri elektrik untuk operasi premis itu," katanya.
Jelas beliau, melalui tindakan tegas MBK bersama agensi terlibat bukan sahaja menyelesaikan isu premis tanpa lesen malah telah memberi kelegaan kepada penduduk yang selama ini berdepan kacau ganggu disebabkan operasi premis itu.
"Difahamkan pemilik premis akan berpindah ke lokasi lebih sesuai dan dalam proses permohonan lesen," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!